Sarjit congak skuad versatil

Sarjit. Foto Facebook MHC
Sarjit. Foto Facebook MHC
A
A
A

BARISAN kejurulatihan pasukan hoki lelaki negara mencongak formula untuk membentuk pemain versatil yang berupaya beraksi di pelbagai posisi dalam skuad Speedy Tigers.

Ketua jurulatihnya, Sarjit Singh mendedahkan bahawa kemampuan memperagakan kemahiran dalam mana-mana posisi merupakan satu tuntutan dalam arena hoki yang perkembangan pesat di seluruh dunia.

"Kami mahu pemain yang boleh bermain lebih daripada satu posisi. Itulah keperluan dalam hoki moden hari ini.

"Jika anda seorang pemain tengah, anda mampu untuk dialihkan beraksi di mana-mana posisi lain juga. Kami mempunyai pemain yang memenuhi keperluan ini," katanya.

Selain itu, beliau juga bakal memperkenalkan program khas buat pemain yang menyertai kem latihan pasukan kebangsaan bermula bulan depan.

Tambahnya, program tersebut bertujuan mengekalkan tahap fizikal dan mental para pemain sentiasa terbaik, sekali gus mampu mengelak mereka daripada hilang sentuhan.

"Setiap kali barisan pemain tidak menjalani latihan intensif akan menyebabkan kemampuan fizikal mereka merudum. Jadi kita perlu bermula dari awal untuk memperoleh kembali kekuatan masing-masing.

"Program latihan khas akan dibuat untuk mereka. Bila-bila masa kita perlukan, mereka sudah bersedia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ketika ini lebih 40 pemain giat menjalani sesi latihan pertama skuad kebangsaan yang bermula minggu lalu hingga 30 Mac ini.

Kem latihan itu bagi menilai keupayaan mereka sebelum dikurangkan kepada 30 orang yang dijangka diumum pada awal April ini.

Jumlah tersebut kemudian akan dikecilkan kepada 18 pemain bagi membentuk wajah baharu Speedy Tigers untuk mengharungi saingan Piala Sultan Azlan Shah dan Piala Negara-Negara di Poland pada 30 Mei hingga 1 Jun.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28