Peluang pemain pikat Sarjit

Ahmad Najmi (kanan) dan Sarjit dalam sidang media di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Isnin. Foto Bernama
Ahmad Najmi (kanan) dan Sarjit dalam sidang media di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

SERAMAI enam daripada 30 pemain berpeluang memburu tempat untuk membuat penampilan pertama bersama skuad hoki lelaki kebangsaan bimbingan Sarjit Singh bagi beraksi di pentas antarabangsa.

Mereka terdiri daripada penjaga gol Nurinsafi Sportings, Che Shahrul Azmi Che Saufi dan pemain pertahanan Maybank, Muhamad Kamarulzaman Kamaruddin.

Turut mengintai peluang ialah pemain tengah Maybank, Muhammad Syawal Abd Razak, T Naaveennash dari TNB Thunderbolts, selain dua penyerang Azimuddin Syakir Kamaruddin (TNB Thunderbolts) dan Nur Rahull Hrsikesa Thaitchana Muruthi (Nurinsafi Sportings).

Senarai 30 pemain tersebut dimaklumkan oleh pengurus pasukan, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak dalam sidang media di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Isnin.

Beliau berkata, pemilihan pemain tersebut dibuat selepas melalui proses tapisan daripada 46 pemain yang menjalani latihan sejak 19 Mac lalu.

Tambahnya, mereka akan menjalani latihan fasa kedua bermula malam Isnin sehingga 1 Mei depan sebelum 18 senarai akhir dimuktamad untuk mengharungi dua kejohanan pada Mei dan Jun depan.

"Malaysia juga akan mengadakan aksi persahabatan menentang New Zealand sebagai penilaian akhir sebelum senarai akhir 18 pemain dimuktamadkan.

"Purata umur 30 pemain ini adalah 25 tahun," katanya.

Artikel Berkaitan:

Skuad Speedy Tigers akan mengharungi saingan Piala Sultan Azlan Shah bermula 4 hingga 11 Mei dan Piala Negara-Negara di Poland pada 30 Mei hingga 1 Jun.

Selain enam pemain yang belum pernah membuat penampilan antarabangsa itu, Sarjit turut memilih empat pemain daripada skuad Piala Dunia Remaja tahun lalu ke dalam senarai 30 pemain itu.

Mereka adalah Muhammad Faris Harizan, Mughni Mohamad Kamal, Alfarico Lance Liau Jr dan Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari yang juga pemain paling muda berusia 18 tahun.

"Kami akan beri peluang kepada semua pemain. Sejak awal lagi saya sudah beritahu yang kami perlu menilai mereka selepas 25 hingga 30 perlawanan," katanya.