Dakwa diugut, pendakwah bebas buat laporan polis

Ahmad Husam
Ahmad Husam
A
A
A

ALOR SETAR - Pendakwah bebas, Ahmad Husam Muhamad Baderudin membuat laporan polis selepas mendakwa telah diugut melalui satu konspirasi yang didalangi dua individu termasuk orang kuat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Laporan polis tersebut dibuat terhadap pegawai khas kepada Najib, Muhammad Mukhlis Maghribi dan bekas Presiden Parti Keadilan Insan Tanah Air (KITA), Zamil Ibrahim di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu pada Jumaat.

Ahmad Husam mendakwa Zamil telah berjumpa dengan bapa saudaranya, Najmudin Ahmad bagi tujuan memfitnah selain cuba memeras ugutnya.

"Pak Ndak (Najmudin) telah menunjukkan kepada saya WhatsApp yang dihantar oleh Zamil kepada beliau yang mana saya difahamkan WhatsApp itu telah dihantar oleh Mukhlis. Di dalam WhatsApp itu jelas menujukan beliau memeras ugut saya bagi memenuhi kehendak mereka.

“Antara ugutan beliau adalah jika kehendak mereka tidak dipenuhi, beliau akan mengarahkan PDRM untuk menyiasat saya.

"Perkara ini sebenarnya sudah bermula sekitar Mei 2023 ketika mana Mukhlis menghubungi saya bahawa beliau kononnya telah dihubungi oleh pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman untuk menyiasat kes yang melibatkan saya berkaitan dengan AMLA (Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001).

"Beliau menyatakan bahawa kononnya dua pegawai polis tersebut telah meminta wang penyelesaian kes sebanyak RM400,000,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Ahmad Husam, beliau enggan mengikut permintaan mereka dan mendakwa terus diganggu sehingga ke hari ini.

Artikel Berkaitan:

"Bukti serta segala rakaman perbualan telefon di antara saya dan Mukhlis juga telah diserahkan kepada polis," katanya.

Ahmad Husam berkata, laporan polis dibuat kerana ugutan berkenaan telah memberi ancaman serta ketakutan kepada dirinya dan keluarga beliau.

Pada 27 Disember tahun lalu, media melaporkan, Ahmad Husam memfailkan saman fitnah RM5 juta ke atas empat individu di Mahkamah Tinggi Alor Setar bersabit kenyataan memfitnahnya.

Ahmad Husam menamakan empat individu iaitu Muhammad Mukhlis, Zamil Ibrahim serta dua lagi individu Ku Muhammad Khairul Amzad Ku Ahmad dan Mohd Fairus Shaari@Mohd Fazil.

Mengikut writ yang dikemukakan, saman berkenaan difailkan melalui firma guaman Tetuan Zain Megat & Murad pada 14 Disember lalu, selepas notis tuntutan yang dikeluarkan pada 13 November lalu tidak mendapat respon daripada individu berkaitan.

Peguam, Muhammad Asyraf Abd Aziz yang mewakili Ahmad Husam selaku plaintif mendakwa, Mukhlis menerbitkan satu hantaran di laman Instagram beliau iaitu 'sesiapa nak tgk Ustz Scammer boleh pi standby kat Mahkamah Kangar esok (22/6/23) pagi, lebih kurang pukul 8.30am'.

Menurutnya, Zamil kemudian menulis dan menerbitkan pelbagai kenyataan fitnah antaranya melalui satu video yang dimuat naik di Facebooknya dengan menuduh Ahmad Husam kononnya sebagai penipu, menyalahgunakan wang derma orang ramai dan wang zakat.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28