Ringgit dibuka rendah, jangkaan AS tangguh turun kadar faedah

Pada 9.01 pagi ini, ringgit susut kepada 4.7350/7410 berbanding dolar AS daripada 4.7320/7370 pada akhir Rabu. Foto 123RF
Pada 9.01 pagi ini, ringgit susut kepada 4.7350/7410 berbanding dolar AS daripada 4.7320/7370 pada akhir Rabu. Foto 123RF
A
A
A

RINGGIT memulakan urus niaga Jumaat dengan lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan andaian bahawa negara maju itu akan menunda pelaksanaan pengurangan kadar faedahnya berdasarkan pengumuman data-data ekonominya.

Pada 9.01 pagi ini, ringgit susut kepada 4.7350/7410 berbanding dolar AS daripada 4.7320/7370 pada akhir Rabu.

Urus niaga ditutup semalam sempena cuti Nuzul al-Quran.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kalangan penggiat pasaran pertukaran asing kekal optimis terhadap dolar AS ketika Indeks Dolar AS (DXY) naik 0.19 peratus kepada 104.546 mata.

"Pasaran seakan yakin bahawa ekonomi AS akan menyederhana. Walaupun Kadar Dana Rizab Persekutuan AS (Fed) telah mencecah paras kemuncak, Fed dijangka tidak akan mengubah haluannya dalam masa terdekat hanya kerana yakin kadar inflasi masih tinggi manakala ekonomi bergerak pada kadar biasa," katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata data-data ekonomi AS juga kekal teguh dengan anggaran prestasi akhir suku keempat 2023 adalah lebih tinggi daripada jangkaan kepada 3.4 peratus bagi kadar tahunan pelarasan suku ke suku berbanding jangkaan pasaran sebanyak 3.2 peratus.

Malah, Gabenor Fed AS Christopher Waller dilaporkan berkata tiada sebarang keperluan untuk segera melaksanakan sebarang langkah bagi melonggarkan dasar monetari.

Ini berdasarkan data-data ekonomi yang diumumkan menunjukkan kewajaran melaksanakan pengurangan kadar itu lebih lewat lagi pada tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut membangkitkan keadaan bahawa ekonomi serta pengambilan pekerja yang kukuh sebagai alasan bagi Fed untuk menunda pelaksanaan itu selain mendapatkan keyakinan bahawa inflasi berada di landasan berterusan ke arah sasaran 2.0 peratus.

Pada masa sama, indeks harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) AS yang akan diumumkan lewat malam ini, dijangka memberi kejelasan mengenai prospek kadar faedah di negara itu.

Di peringkat tempatan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama, kecuali euro yang meningkat kepada 5.1062/1127 daripada 5.1233/1287, sebelum ini.

Ringgit susut berbanding pound Britain kepada 5.9775/9850 daripada 5.9742/9805 dan rendah berbanding yen Jepun pada 3.1287/1329 daripada 3.1261/1298.

Selain itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN, termasuk meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.9815/13.0058 daripada 12.9925/13.0130 dan tinggi berbanding dolar Singapura pada 3.5079/5129 daripada 3.5112/5151.

Ringgit bagaimanapun hampir tidak berubah berbanding peso Filipina yang didagangkan di paras 8.41/8.42 daripada 8.41/8.43 dan susut berbanding rupiah Indonesia pada 298.5/299.1 daripada 298.3/298.8. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28