Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada pagi urus niaga Isnin apabila nilai dolar AS mengukuh selepas data senarai gaji utama bukan ladang (NFP) Amerika Syarikat (AS) yang terkini melepasi jangkaan. - Gambar hiasan
Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada pagi urus niaga Isnin apabila nilai dolar AS mengukuh selepas data senarai gaji utama bukan ladang (NFP) Amerika Syarikat (AS) yang terkini melepasi jangkaan. - Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT dibuka rendah berbanding dolar AS pada pagi urus niaga Isnin apabila nilai dolar AS mengukuh selepas data senarai gaji utama bukan ladang (NFP) Amerika Syarikat (AS) yang terkini melepasi jangkaan.

Pada 9 pagi, ringgit menyusut nilai kepada 4.6750/6800 berbanding dolar AS daripada penutupan Jumaat lepas pada paras 4.6625/6665.

Menurut laporan, data NFP AS mencatatkan sejumlah 199,000 pada bulan November berbanding anggaran konsensus sebanyak 180,000.

Bagaimanapun, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata setelah diteliti, peningkatan mendadak dalam NFP AS disebabkan terutamanya oleh pekerja yang kembali daripada mogok mereka.

"Dari sudut itu, pasaran buruh dilihat lemah yang boleh menyebabkan ahli Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) berubah arah apabila mereka bersidang semula pada 12-13 Dis.

"Buat masa ini, pergerakan ringgit berbanding dolar AS dijangka kekal terkawal," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan susut berbanding pound Britain kepada 5.8685/8748 daripada 5.8542/8593 pada penutup Jumaat dan lemah berbanding euro kepada 5.0359/0413 daripada 5.0243/0286 minggu lepas.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.2164/2200 daripada 3.2307/2337 sebelumnya.

Pada masa yang sama, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asia yang lain.

Mata wang tempatan tidak berubah nilainya berbanding peso Filipina pada 8.41/8.43 tetapi meningkat berbanding baht Thai kepada 13.1283/1494 daripada 13.1933/2094.

Ringgit lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.4844/4884 daripada 3.4818/4853 minggu lepas dan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 301.2/301.7 daripada 300.4/300.8 sebelumnya. - Bernama