KKDW salur RM46.6 juta di Selangor

Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan sumbangan kepada 130 orang anak yatim dan pelajar tahfiz pada Majlis Santunan Kasih Ramadan 2024 di pekarangan Masjid Jamek As-Solihin Kanchong Darat Banting pada Jumaat. Foto Bernama
Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan sumbangan kepada 130 orang anak yatim dan pelajar tahfiz pada Majlis Santunan Kasih Ramadan 2024 di pekarangan Masjid Jamek As-Solihin Kanchong Darat Banting pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

BANTING - Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan perniagaan kepada rakyat Selangor tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pada tahun 2024 aktiviti keusahawanan Majlis Amanah Rakyat (MARA) seperti Program Pensijilan Usahawan (BEST) dan Program Pendigitalan Perniagaan (DIGITALBIZ), MARA Selangor memperuntukkan sebanyak RM816,000 kepada 383 usahawan.

Menurutnya, Pembiayaan Usahawan, MARA menyediakan sebanyak RM39,055,000 kepada 390 usahawan yang layak manakala RM2,999,335 untuk membaik pulih premis perniagaan di Selangor.

“Bagi peruntukan di bawah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) pada tahun 2024, sebanyak 22 Kampung Orang Asli (10 daerah Kuala Langat dan 3 daerah Klang) dengan jumlah penduduk seramai 6,396 orang yang majoritinya suku kaum Mah Meri menerima RM977,000 bagi 25 projek pembangunan Kampung Orang Asli dan RM1,370,000 untuk program Pembiayaan Perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Iftar Santunan Kasih Ramadan di Masjid Jamek As Solihin, Kachong Darat di sini pada Khamis.

Ahmad Zahid (tiga, kanan) menyampaikan surat pelantikan pengerusi jawatankuasa penasihat peringkat Pusat Giat MARA Kuala Langat kepada Sudirman Isman. Foto Bernama
Ahmad Zahid (tiga, kanan) menyampaikan surat pelantikan pengerusi jawatankuasa penasihat peringkat Pusat Giat MARA Kuala Langat kepada Sudirman Isman. Foto Bernama

Pada majlis itu Ahmad Zahid turut menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM13,000 kepada 60 orang anak yatim dan 70 orang pelajar tahfiz kariah masjid berkenaan.

Beliau yang juga Menteri KKDW berkata, kementerian melalui Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Negeri Selangor memperuntukkan RM669,500 untuk pembangunan komuniti meliputi program Hari Kebesaran Islam, Klinik Audit Solat, Street Dakwah, Kampung Mandiri, Jom Masuk Kampung, Kem Eksplorasi Belia, Kembara Merdeka, Sahabat Komuniti Desa, Sukarelawan Prihatin, Projek Rakan Kebun, Pakej Latihan Keusahawanan, serta Promosi dan Pemasaran.

Artikel Berkaitan:

“Sebanyak RM796,000 lagi diperuntukkan untuk pendidikan kemahiran meliputi program Sijil Kemahiran Malaysia-Penilaian Pencapaian Terdahulu (SKM-PPT), Quick Win, Program Promosi Kemahiran, Kursus Kemahiran Jangka Pendek Wins dan Perolehan Peralatan," katanya.

Ahmad Zahid memaklumkan bahawa di Selangor, Felcra Berhad (Felcra) telah membangunkan ladang seluas 2,450 hektar di Selangor dengan dua jenis tanaman iaitu kelapa sawit dan getah.

Ahmad Zahid Hamidi hadir pada Majlis Santunan Kasih Ramadan 2024. Foto Bernama
Ahmad Zahid Hamidi hadir pada Majlis Santunan Kasih Ramadan 2024. Foto Bernama

“Sebanyak 22 projek di Selangor yang dikawal selia oleh Felcra Berhad ini telah memberi manfaat kepada hampir 2,600 orang peserta di dua kawasan iaitu Batu 8 Sejangkang dan Lembah Bernam.

“Sehingga Disember 2023 Felcra Berhad telah berjaya menyalurkan bayaran agihan keuntungan tahunan melebihi RM4.6 juta kepada 1,951 peserta," katanya.

Dalam pada itu, lebih 2,000 komuniti setempat diraikan di Majlis Santunan Kasih Ramadan, Selangor anjuran KKDW.

Program iftar yang memasuki tahun kedua penganjuran, telah diadakan di sembilan lokasi iaitu di Kluang, Tanah Merah, Terengganu, Trolak, Nibong Tebal, Labuan, Pendang, dan Banting menjadi lokasi kedua terakhir sebelum Bagan Datuk, Perak.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28