Baki stok simpanan air di empat empangan paras kritikal - Nadma

Empangan Air Itam di Pulau Pinang merekodkan paras 35 peratus ketika ini. Foto fail Bernama
Empangan Air Itam di Pulau Pinang merekodkan paras 35 peratus ketika ini. Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Empat empangan air di Johor, Pulau Pinang dan Kedah menunjukkan penurunan paras simpanan sumber air mentah pada paras kritikal setakat semalam susulan cuaca panas.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memaklumkan, empangan berkenaan ialah Empangan Sembrong Barat di Johor yang kini merekodkan paras 31.65 peratus; Empangan Air Itam di Pulau Pinang (35 peratus) dan Empangan BS Padang Saga (39.67 peratus) serta Empangan Malut (39.90 peratus) di Kedah.

Nadma yang memetik Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berkata, stok simpanan air di Empangan Muda, Kedah pula berada pada paras amaran iaitu 41 peratus.

"Ttiga empangan lagi menunjukkan stok simpanan air berada pada paras waspada, iaitu Empangan Timah Tasoh di Perlis (56.25 peratus), Empangan Bekok di Johor (68.58 peratus) dan Empangan Teluk Bahang di Pulau Pinang (69.00 peratus)," menurut NADMA dalam laporan ringkas mengenai status cuaca panas hari ini.

Selain itu, katanya pada 25 Mac, JPS mengeluarkan hebahan ramalan kemarau bagi tiga lembangan sungai, iaitu Sungai Muda Kedah, Sungai Kelantan dan Sungai Melaka.

Nadma memaklumkan, keadaan itu mungkin akan menyebabkan masalah gangguan bekalan air di daerah Sik, Kedah; Pasir Mas, Machang, Tanah Merah dan Kota Bharu (Kelantan) serta Alor Gajah (Melaka).

Mengenai status cuaca panas, Nadma berkata, cuaca panas tahap 2 (gelombang haba) dicatatkan di Perlis pada 25 hingga 27 Mac; daerah Hulu Perak (Perak) pada 26 dan 27 Mac; daerah Kota Setar dan Pokok Sena (Kedah) pada 27 Mac; dan daerah Beaufort, Sabah pada 25 Mac.

Jabatan Meteorologi sebelum ini menyatakan fasa peralihan monsun dijangka bermula esok dan berterusan sehingga Mei yang menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut 2023/24.

Artikel Berkaitan:

Permulaan fasa peralihan monsun, keadaan cuaca panas dan kering yang sedang berlaku di kebanyakan tempat di seluruh negara dijangka beransur pulih menjelang pertengahan April. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28