Warga HTAA diingatkan sentiasa ikhlas laksana tanggungjawab

Tengku Hassanal (kanan) bergambar dengan pengujung yang duduk di kerusi menunggu Jabatan Kecemasan HTAA pada Khamis
Tengku Hassanal (kanan) bergambar dengan pengujung yang duduk di kerusi menunggu Jabatan Kecemasan HTAA pada Khamis
A
A
A

KUANTAN - Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan warga kerja di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) agar ikhlas menunaikan tanggungjawab mereka.

Baginda turut mengingatkan kakitangan khususnya doktor dan jururawat agar menjaga serta merawat pesakit dengan baik.

"Bagi warga hospital tolong jaga hospital, jaga pesakit betul-betul (dengan baik), berikhlaslah dalam menjalankan tugas.

"Kalau ada apa-apa masalah teruslah buat aduan kepada pihak kerajaan," titah baginda.

Tengku Hassanal bertitah demikian ketika Majlis Pengurniaan Kerusi Menunggu kepada HTAA di Lobi Makmur, HTAA Kuantan pada Khamis.

Hassanal (tengah) Majlis Pengurniaan Kerusi Menunggu kepada HTAA di Lobi Makmur, HTAA Kuantan di sini pada Khamis.
Hassanal (tengah) Majlis Pengurniaan Kerusi Menunggu kepada HTAA di Lobi Makmur, HTAA Kuantan di sini pada Khamis.

Baginda turut mengurniakan 160 set kerusi menunggu kepada pihak HTAA.

Kurniaan itu tersebut bagi menggantikan 135 set kerusi menunggu yang rosak dan 25 set lagi sebagai pertambahan untuk keselesaan pesakit yang menunggu giliran.

Artikel Berkaitan:

Tengku Hassanal memberikan pengurniaan tersebut sebagai sumbangan jasa di tempat keputeraan baginda.

Sebelum ini, tular sebuah video menerusi Tik Tok keadaan kerusi panjang di ruang menunggu dekat Jabatan Kecemasan HTAA kelihatan terlalu uzur sehingga mengundang ketidakselesaan dalam kalangan pengunjung.

Video tersebut yang dimuat naik pengguna @Jaarossi berdurasi 28 saat itu telah meninggalkan pelbagai reaksi netizen.

Susulan penularan video itu, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Ir Razali Kassim dilaporkan berkata, Kerajaan Pahang memperuntukkan RM24,500 bagi menyelesaikan masalah kerosakan kerusi di ruang menunggu itu.

Katanya, peruntukan itu digunakan untuk pembelian 35 set kerusi yang panjang bagi menggantikan kerusi uzur, berlubang dan terkoyak.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!