Pusat hiburan guna salinan karya secara haram diserbu

Antara barangan elektronik yang dirampas di pusat hiburan terbabit pada Rabu.
Antara barangan elektronik yang dirampas di pusat hiburan terbabit pada Rabu.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Sebuah pusat hiburan yang disyaki menjual barang salinan langgaran karya seni muzik diserbu sepasukan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang pada Rabu.

Pengarahnya, RS Jegan berkata, hasil serbuan dijalankan ke atas premis tersebut berjaya menemukan perisian karya muzik dan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Hak Cipta 1987.

Menurutnya, pemeriksaan di premis tersebut pihaknya menyita set karaoke yang mengandungi beberapa jenis perisian karya muzik yang disyaki salinan langgaran sebanyak enam buah lagu.

"Sitaan juga dilakukan ke atas pelbagai peralatan elektronik iaitu tiga unit mikrofon, amplifier dan mixer, pembesar suara dan sebuah televisyen yang mana jumlah sitaan dianggarkan bernilai RM89,500.

"Siasatan mendapati premis tersebut disyaki telah melakukan kesalahan dan disiasat dibawah Akta Hak Cipta 1987," katanya menerusi kenyataan di sini, pada Khamis.

Dalam pada itu, Jegan memberi amaran keras terhadap mana-mana individu atau syarikat yang berkaitan supaya sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.

Katanya, mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Hak Cipta 1987 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM20,000 bagi setiap salinan langgaran, atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Artikel Berkaitan: