Pusat karaoke diserbu, 12 lagu salinan langgaran dirampas

KPDN Pulau Pinang menyita dua set mesin karaoke yang mengandungi 12 lagu disyaki salinan langgaran dengan nilai keseluruhan sebanyak RM5,974.(Gambar hiasan) - Foto 123rf. Gambar Kecil: Jegan
KPDN Pulau Pinang menyita dua set mesin karaoke yang mengandungi 12 lagu disyaki salinan langgaran dengan nilai keseluruhan sebanyak RM5,974.(Gambar hiasan) - Foto 123rf. Gambar Kecil: Jegan
A
A
A

GEORGE TOWN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menyita dua set mesin karaoke yang mengandungi 12 lagu disyaki salinan langgaran dengan nilai keseluruhan sebanyak RM5,974.

Pengarahnya, S Jegan berkata, operasi tersebut dijalankan bersama Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) di sebuah premis perniagaan di sebuah pusat beli- belah yang terletak di Jalan Magazine, di sini.

Menurutnya, operasi dijalankan pada jam 2.30 petang, Selasa.

"Hasil pemeriksaan ke atas premis perniagaan menjual peralatan aksesori elektronik mendapati, ada dua set alat karaoke mengandungi karya muzik yang disyaki salinan langgaran.

"Sebanyak 12 lagu karya hakcipta dimiliki oleh Suria Record, Life Record dan Universal Music telah ditemui di dalam set karaoke tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Jegan berkata, seorang lelaki berusia lingkungan 20-an yang merupakan pemilik premis telah diambil keterangan untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Akta Hakcipta 1987 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak lebih daripada RM20,000 bagi setiap salinan langgaran atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

"Bagi apa-apa kesalahan yang berikutnya, boleh didenda tidak kurang daripada RM4,000 dan tidak lebih daripada RM40,000 bagi setiap salinan langgaran atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, KPDN Pulau Pinang memberi amaran kepada mana-mana pihak yang cuba memiliki salinan langgaran akan dikenakan tindakan tegas.

"Kita mengalu-alukan sebarang maklumat atau aduan daripada orang awam bagi membantu membanteras aktiviti memiliki salinan langgaran tanpa kebenaran oleh pemilik karya.

"Sebarang aduan, pengguna boleh menyalurkan kepada KPDN untuk tindakan selanjutnya melalui beberapa saluran aduan antaranya portal e-aduan KPDN (https://eaduan.kpdn.gov.my), talian aduan (1800886800) atau WhatsApp KPDN di talian 019279 4317," katanya.