Gerak kerja Kementerian Digital dalam masa terdekat - Gobind

Menteri Digital Gobind Singh Deo (kiri) ketika mengadakan sidang media khas di Pejabat Parti DAP pada Selasa. - Foto Bernama
Menteri Digital Gobind Singh Deo (kiri) ketika mengadakan sidang media khas di Pejabat Parti DAP pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, gerak kerja dan tugasan kementeriannya akan diputuskan dalam masa terdekat, selepas bidang tugas kementerian baharu itu diketahuinya esok.

Gobind berkata, beliau akan hadir ke Mesyuarat Jemaah Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang dijadualkan esok, untuk mengetahui bidang tugas kementerian itu bagi memudahkan penggubalan dasar dan perancangan untuk tempoh pendek, sederhana dan panjang kementerian itu.

"Saya akan lihat mulai esok dan saya rasa dalam masa yang terdekat, kita dapat wujudkan kerangka yang jelas dengan peranan saya sebagai Menteri Digital. Kita akan laksanakan sidang media dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media di bangunan DAP di sini pada Selasa.

Gobind, 50, yang pernah menjadi Menteri Komunikasi dan Multimedia sewaktu Pakatan Harapan (PH) pimpinan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kembali menganggotai Jemaah Menteri pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, apabila dilantik sebagai Menteri Digital hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook pada sidang akhbar sama berkata, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh, secara sukarela mengosongkan jawatannya bagi mengelakkan isu nepotisme dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Menteri Pengangkutan yang juga Setiausaha Agung Parti DAP Anthony Loke Siew Fook (tengah) selepas sidang media khas di Pejabat Parti DAP pada Selasa. - Foto Bernama
Menteri Pengangkutan yang juga Setiausaha Agung Parti DAP Anthony Loke Siew Fook (tengah) selepas sidang media khas di Pejabat Parti DAP pada Selasa. - Foto Bernama

"Oleh kerana hubungan adik-beradik beliau (Ramkarpal) bersama Gobind, beliau merasakan bahawa tidak sesuai ada dua adik-beradik berkhidmat sebagai menteri dan timbalan menteri, di dalam kabinet yang sama.

"Beliau mengambil sikap berkorban untuk mengosongkan jawatannya, supaya tidak memberikan ruang kepada pengkritik mengkritik parti DAP. Jadi, itu satu semangat saya rasa amat penting,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan setinggi ucapan terima kasih kepada Ramkarpal yang banyak menyumbang kepada reformasi undang-undang, serta merangka rang undang-undang baharu sepanjang setahun beliau berkhidmat.

"Dalam masa sama, saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan Menteri Sumber Manusia (V. Sivakumar) di atas perkhidmatan beliau sepanjang setahun yang lalu, beliau telah mengeluarkan kenyataan menerima dengan hati terbuka keputusan Perdana Menteri dan itu merupakan satu sikap yang terpuji dan dihargai oleh parti (DAP),” katanya.

Turut hadir pada sidang media itu, Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran dan Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa berkata, rombakan Kabinet di bawah kerajaan pimpinannya dilaksanakan bagi memenuhi tuntutan semasa yang dikehendaki dalam negara. - Bernama.