Kumpul minyak masak terpakai, lebihan makanan di bazar Ramadan

Lebihan makanan dihantar ke masjid dan kepada asnaf berhampiran
Lebihan makanan dihantar ke masjid dan kepada asnaf berhampiran
A
A
A

AMPANG - Sebanyak 191.5 kilogram (kg) minyak masak terpakai dan 70kg lebihan makanan berjaya dikumpulkan 12 sukarelawan di bazar Ramadan Bandar Baru Ampang di sini.

Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dalam satu kenyataan memaklumkan, aktiviti itu dilaksanakan sempena Program MySaveFood dan Kempen Bazar Ramadan Mampan 2024.

"Program ini dianjurkan Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar dengan kerjasama Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Usahawan MPAJ serta Gerakan Mahasiswa (GEMA).

"(Seramai) 12 sukarelawan terlibat berjaya mengumpul 191.5kg minyak masak terpakai dan ⁠70kg lebihan makanan sebelum lebihan makanan ini dihantar ke masjid dan kepada asnaf berhampiran.

"Semoga usaha menyelamatkan makanan ini dapat diteruskan untuk kita terapkan kesedaran kepada masyarakat dan mencapai sasaran mengurangkan sisa di tapak pelupusan menjelang 2030," menurut kenyataan itu di laman Facebook MPAJ pada Khamis.

Dalam pada itu, sukarelawan terbabit turut memberikan penerangan dan promosi berkaitan Kempen Bebas Plastik kepada 87 orang pengunjung di bazar Ramadan berkenaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: