Peniaga sorok minyak masak jual pada warga asing

Kamalludin (kanan) turut serta dalam operasi terhadap peniaga warga asing yang menyorokkan minyak masak peket bersubsidi di Teluk Intan pada Rabu.
Kamalludin (kanan) turut serta dalam operasi terhadap peniaga warga asing yang menyorokkan minyak masak peket bersubsidi di Teluk Intan pada Rabu.
A
A
A

TELUK INTAN - Tindakan peniaga menyorokkan minyak masak untuk dijual kepada warga asing membawa padah apabila berjaya dihidu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, kegiatan itu dikesan menerusi Ops Pantau 2024 ke atas beberapa perniagaan yang dikendalikan warga asing di Kompleks Menara Condong, di sini pada Rabu.

Menurutnya, operasi tersebut pada awalnya bertujuan memeriksa kedudukan stok bekalan barangan keperluan sebagai persediaan Hari Raya Aidilfitri terutamanya yang melibatkan barang kawalan bersubsidi seperti minyak masak peket 1 kilogram (kg), gula dan tepung.

"Kita terima aduan daripada orang awam bahawa ada peniaga dengan sengaja menyorok minyak masak paket bersubsidi 1kg dan hanya menjual kepada warga asing.

"Lanjutan itu pegawai penguat kuasa KPDN membuat Ops Samar sebagai pembeli untuk membuat uji beli di beberapa premis perniagaan di situ," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kamalludin berkata, ketika Ops Samar itu peniaga memaklumkan bahawa stok bekalan minyak masak paket 1kg telah habis dan tidak menerima bekalan minyak masak peket 1kg sejak satu minggu yang lalu daripada pembekal.

Menurutnya, curiga dengan jawapan peniaga tersebut, pegawai dan anggota penguat kuasa berpakaian seragam kemudiannya telah menyerbu dan memeriksa premis serta stor simpanan perniagaan berkenaan.

"Hasilnya sebanyak 139 peket 1kg minyak masak bersubsidi telah dijumpai di dalam stor simpanan milik peniaga tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Berikutan penemuan tersebut, satu arahan pengisytiharan stok bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 telah diserahkan kepada pemilik premis," katanya.

Menurutnya, susulan itu juga sebanyak 139 paket 1kg minyak masak bersubsidi dan beberapa dokumen belian serta jualan telah disita untuk siasatan lanjut dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM347.50.

Jelasnya, kes disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan seseorang selain dari badan korporat boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi badan korporat pula boleh didenda sehingga RM2 juta.

Kamalludin berkata, sepanjang operasi itu juga pihaknya menghasilkan sebanyak lapan kes iaitu tiga kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta lima kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

"Antara kesalahan yang dilakukan adalah menjual barang kawalan melebihi harga maksimum yang ditentukan kerajaan di samping kesalahan tidak meletakkan tanda harga pada makanan atau barangan yang dijual.

"KPDN ingin memberikan amaran dan menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam aktiviti atau sindiket penyalahgunaan barang-barang kawalan seperti minyak masak paket 1kg bersubsidi ini.

"Kita akan memastikan tindakan lebih tegas termasuklah pendakwaan di mahkamah dan pembatalan lesen barang kawalan tersebut," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28