Misi cari kotak hitam helikopter AW139 berdepan kesukaran

Usaha pencarian kotak hitam helikoter AW139 memasuki fasa kedua. Foto Maritim Malaysia
Usaha pencarian kotak hitam helikoter AW139 memasuki fasa kedua. Foto Maritim Malaysia
A
A
A

PUTRAJAYA - Kotak hitam helikopter AW139 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang mendarat cemas di Pulau Angsa, Kuala Selangor, 5 Mac lalu, dipercayai berada kira-kira 700 meter dari kawasan tragedi itu.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, ini berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada Pusat Hidrografi Nasional (PHN) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

"Kotak hitam berkenaan dipercayai berada di sekitar 700 hingga 800 meter dari kawasan pendaratan cemas helikopter tersebut.

"Mengikut laporan yang diterima, para penyelam berhadapan kesukaran untuk mencari kotak hitam berkenaan akibat keadaan arus deras di dasar laut selain jarak penglihatan di dalam air yang terhad akibat dasar laut yang berlumpur," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Usaha pencarian kotak hitam helikoter AW139 memasuki fasa kedua. Foto Maritim Malaysia
Usaha pencarian kotak hitam helikoter AW139 memasuki fasa kedua. Foto Maritim Malaysia

Beliau berkata, seramai 21 penyelam penyelamat Maritim Malaysia terlibat dalam fasa kedua pencarian kotak hitam helikopter AW139 itu.

Jelasnya, pencarian kali ini memfokuskan keluasan lokasi kotak hitam berkenaan antara 50 sehingga 100 meter radius berpandukan signal daripada pinger.

Tambah Hamid, bagaimanapun pihaknya positif akan menjumpai kotak hitam berkenaan dalam masa terdekat berdasarkan kedudukan terkini kotak tersebut yang dikesan.

Artikel Berkaitan:

"Selain penyelam penyelamat Maritim Malaysia, misi pencarian ini turut melibatkan kru sonar PHN TLDM, Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) dan pihak penyedia perkhidmatan pesawat Maritim Malaysia iaitu Galaxy (M) Sdn Bhd," ujarnya.

Fasa pertama pencarian kotak hitam pesawat berkenaan telah dilaksanakan bermula 6 Mac hingga 24 Mac lalu dengan lokasi tumpuan adalah di sekitar satu kilometer radius di kawasan helikopter terbabit melakukan pendaratan cemas.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.55 pagi itu, helikopter dengan pendaftaran M72-01 dinaiki empat anggota dan pegawai Maritim Malaysia yang sedang melakukan latihan menyelamat ketika kejadian berlaku.

Bagaimanapun, kesemua mereka dilaporkan selamat.

Helikopter yang mendarat cemas itu diterbangkan oleh Leftenan Komander (M) Tengku Mohd Nizam Tengku Zakaria dan Leftenan Komander (M) Mohamad Azrol Saidi.

Turut bersama dalam helikopter terbabit adalah seorang kru udara Pegawai Waran I (M) John Ibno dan seorang Perenang Penyelamat, Bintara (M) Muhamad Nurhayyat Hashim.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!