[VIDEO] Jual hampir 100,000 ketupat sepanjang Ramadan

A
A
A

MELAKA - Ramadan kali ini memberi limpahan rezeki kepada seorang penjual ketupat di Kampung Duyong, di sini, apabila jualan ketupat meningkat lebih 3,000 biji setiap hari.

Mohamad Zaim Othman, 34, yang mengambil alih perniagaan keluarga berusia lebih 30 tahun itu berkata, pada tahun lalu dia hanya menjual kira-kira 1,000 biji ketupat pada setiap petang Ramadan namun kali ini makanan tradisi itu mendapat permintaan tinggi.

Menurutnya, selain pelanggan datang membeli di gerai jualannya yang terletak di tepi jalan, pada tahun ini juga dia mendapat kontrak daripada sebuah kilang untuk menghantar ketupat pada setiap hari.

Pekerja Mohamad Zaim sedang mengantungkan ketupat yang telah direbus dan siap untuk dijual.
Pekerja Mohamad Zaim sedang mengantungkan ketupat yang telah direbus dan siap untuk dijual.

Katanya, dengan menggunakan tiga periuk besar dia akan merebus ketupat selama 24 jam bagi memastikan tekstur yang baik dan tahan lama disamping dibantu enam pekerja yang akan menyiapkan juadah itu termasuk lauk.

"Seperti tahun-tahun lalu, kita akan menjual ketupat bersama rendang seperti rendang kaki ayam, rendang ayam dan hati selain kelainan pada tahun ini kita memperkenalkan kari kambing.

"Selalunya jam 3 petang pelanggan telah mula datang dan kita juga menjual pelbagai jenis kuih-muih sebagai juadah berbuka," katanya.

Mohamad Zaim turut mengakui, meskipun dibebani dengan beras meningkat, namun dia masih mengekalkan harga lama sejak lima tahun lalu iaitu RM5 bagi empat biji ketupat beserta sambal dan serunding Melaka.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Zaim membantu pekerjanya mengikat empat biji ketupat sebelum dijual kepada pelanggan.
Mohamad Zaim membantu pekerjanya mengikat empat biji ketupat sebelum dijual kepada pelanggan.

Ujarnya, menjelang Aidilfitri orang lain sibuk mencari pelanggan, namun dia pula sedang mencari kira-kira 30 orang tukang anyam bagi menyediakan sebanyak 50,000 biji ketupat menggunakan daun kepala pada petang hari mantai.

"Ketupat ni macam emas, bila tiba Ramadan dan hari raya ramai yang mencarinya.

"Petang mantai tahun lalu sebanyak 10,000 biji ketupat terjual namun tak mencukupi jadi tahun ini saya rasa lebih bersemangat dan akan tambahkan bilangan jualan," katanya lagi.

Jelasnya, tidak ketinggalan menggunakan platform media sosial seperti Tiktok dan Facebook untuk memperkenalkan lagi jualan ketupat terutama bagi peminat makanan wajib hari raya itu yang menetap di luar Melaka.