Pecah rumah jenayah popular sepanjang Ramadan, menjelang Aidilfitri

Rondaan di kawasan perumahan dipertingkatkan sepanjang Ramadan ini.
Rondaan di kawasan perumahan dipertingkatkan sepanjang Ramadan ini.
A
A
A

KLANG - Kegiatan pecah rumah dikesan antara aktiviti jenayah popular sepanjang Ramadan dan menjelang sambutan Aidilfitri di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, ia berdasarkan laporan yang diterima setakat ini.

"Antara lokasi yang menjadi sasaran adalah sekitar kawasan perumahan dan kawasan perkampungan.

"Susulan itu, rondaan dipertingkatkan termasuk melibatkan rondaan bermotosikal, kereta peronda dan unit cegah jenayah bagi mengekang jenayah ini," katanya menerusi program singgah sahur bersama warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di Pandamaran, dekat sini pada Khamis.

Katanya, susulan itu orang ramai dinasihatkan agar sentiasa memaklumkan ketiadaan mereka di rumah kepada balai polis berhampiran.

Hoong Fong (kanan) bertanyakan sesuatu kepada pegawainya ketika program singgah sahur bersama warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di Pandamaran, dekat sini pada Khamis.
Hoong Fong (kanan) bertanyakan sesuatu kepada pegawainya ketika program singgah sahur bersama warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di Pandamaran, dekat sini pada Khamis.

"Ramai yang salah faham berkaitan pemakluman ini, mereka ingat ia ketika perayaan sahaja, kalau balik kampung atau tiada di rumah dalam tempoh tertentu tetap boleh maklum kepada polis.

"Selain itu, maklumkan juga kepada jiran tentang ketiadaan kita, supaya jiran dapat bantu tengokkan rumah dan lapor kepada pihak berkuasa sekiranya ada sebarang kejadian jenayah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Hoong Fong sempat beramah mesra bersama anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB), Unit Kereta Peronda (MPV) dan anggota unit cegah jenayah yang menjalankan tugas rondaan sekitar kawasan Pandamaran dan Telok Gong.

Beliau berkata, kesempatan diambil untuk bersama anggota dan pegawainya bagi mendapatkan makluman berkaitan penugasan dijalankan.

"Bagi saya penting untuk turun ke lapangan bertemu dengan anggota bagi mengetahui tugasan yang dilaksanakan, dalam masa sama saya boleh berikan pandangan berkaitan penambahbaikan yang dapat diterapkan dalam setiap penugasan.

"Selain itu, kebajikan para pegawai dan anggota antara keutamaan saya, mereka perlu sentiasa dalam keadaan sihat dan cergas untuk berikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, jadi saya perlu sentiasa bersama ada dengan mereka," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!