‘Setakat ini tiada surat tunjuk sebab dari Bersatu’ - Syed Abu Hussin

Syed Abu Hussin (tengah) bersama empat lagi ahli Parlimen Bersatu ketika sidang media di Baitul Husna Puchong pada Rabu.
Syed Abu Hussin (tengah) bersama empat lagi ahli Parlimen Bersatu ketika sidang media di Baitul Husna Puchong pada Rabu.
A
A
A

PUCHONG - Enam Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih belum menerima sebarang surat tunjuk sebab susulan pindaan Perlembagaan yang dibuat oleh parti pada 2 Mac lalu.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, setakat ini tiada perubahan melibatkan status keenam-enam ahli Parlimen tersebut.

“Setakat ini, tidak ada surat tunjuk sebab dan sehingga kini (keadaan kami) status quo tidak ada apa-apa perubahan,” katanya ketika dalam sidang media di Baitul Husna Puchong pada Rabu.

Pada 2 Mac, Perhimpunan Agung Khas Bersatu meluluskan pindaan perlembagaan parti itu berhubung perlucutan keahlian bagi ahli Parlimen yang menyokong pihak lawan.

Pindaan Perkara 10 Perlembagaan Bersatu akan membolehkan enam ahli Parlimen mereka yang bertindak menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengosongkan kerusi masing-masing.

Selain Syed Abu Hussin, ahli Parimen Bersatu lain yang menyokong Anwar ialah Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Dalam pada itu, ujar Syed Abu Hussin, keenam-enam mereka juga sepakat untuk kekal dengan pendirian menyokong dan membantu Anwar.

“Tujuan kami menyokong Anwar atas dua perkara. Pertama, menstabilkan politik negara, memperkukuhkan Perdana Menteri supaya dapat membangunkan ekonomi dan melaksanakan dasar-dasar kerajaan Madani.

Artikel Berkaitan:

“Kedua ialah untuk membangunkan kawasan-kawasan kami (ahli Parlimen) seperti Jeli, Kuala Kangsar, Bukit Gantang, Gua Musang, Labuan dan Tanjong Karang. Ini matlamat kami dan kami tidak akan toleh ke belakang.

“Niat kami ialah untuk membantu rakyat dan kerajaan yang telah memenangi pilihan raya dan telah menang dua pertiga majoriti,” ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28