Bapa, anak didakwa guna dokumen palsu

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

TAWAU - Seorang bapa dan anak perempuannya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas empat pertuduhan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen, tahun lepas.

Datuk Lo Fui Ming yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Wullersdorf Resources Sdn Bhd, 68, dan anak perempuannya yang juga Pengarah Southsea Gold Sdn Bhd Lo Choon Fung, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka dalam bahasa Mandarin, di hadapan Hakim Jason Juga.

Mereka didakwa secara bersama menggunakan dokumen palsu sebagai tulen, iaitu surat atas nama Southsea Gold Sdn Bhd bertajuk Unauthorised Occupation Of Southsea Gold Lease Land For Mining Operations bertarikh 3 Mac 2020, 10 Disember 2020, 13 Oktober 2021 dan 3 Januari 2022.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Wullerdorf Resources Sdn Bhd di sini, pada April 2023.

Pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama, membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Jason kemudian membenarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin setiap seorang dan menetapkan sebutan semula kes pada 21 Mei ini.

Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Zander Lim Wai Keong, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Zahir Shah. - Bernama

Artikel Berkaitan: