Didakwa pungut wang tabung tanpa kebenaran

No Image Caption
A
A
A

MELAKA - Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Melaka, di sini, pada Rabu, atas tuduhan membuat pungutan wang melalui tabung tanpa kebenaran Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Tertuduh, Md Shah Alias, 40, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Shukeri Najib Ab Rahim.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh sebagai pemilik tunggal Shah Fatah Group Resources Sdn. Bhd. melalui tabung yang tertera nama Pusat Transit Gelandangan E Kasih Melaka didapati telah mengambil bahagian dalam membuat pungutan wang tanpa kebenaran MAIM.

Perbuatan itu sebagaimana di bawah Seksyen 94(6) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Melaka (Pindaan) 2022.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan bank di Taman Mutiara Melaka, Batu Berendam di sini, kira-kira jam 5.20 petang, 3 Ogos 2022.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 94(4) enakmen sama dan boleh dihukum di bawah peruntukan Seksyen 95(5) enakmen sama iaitu denda tidak lebih RM3,000 atau dipenjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwa Syarie, Masri Masud dan Marina Mohammad memohon mahkamah memberikan jaminan sebanyak RM3,000 kepada tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM3,000 dengan dua orang penjamin dan menetapkan 17 Julai depan untuk perbicaraan semula kes.

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28