Lelaki didakwa sebabkan kematian suspek samun

Ketiga-tiga tertuduh diiringi pegawai dan anggota polis selepas selesai dituduh di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen di Alor Setar pada Rabu.
Ketiga-tiga tertuduh diiringi pegawai dan anggota polis selepas selesai dituduh di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen di Alor Setar pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang pekerja kedai aluminium dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini atas tuduhan menyebabkan kematian ke atas salah seorang suspek dalam cubaan merompaknya pada minggu lalu.

Walau bagaimanapun, tertuduh, Han Boon Hou, 33 mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Siti Norhidayah Mohd Noor pada Rabu.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian Mohd Shazwan Idzauddin Ishak, 29, dengan melakukan satu perbuatan yang gopoh atau cuai yang tidak terjumlah dengan kesalahan mematikan orang dengan salah.

Kesalahan tersebut dilakukan di belakang bangunan BSN Kuala Kedah, Kota Setar pada pukul 6.39 pagi, 19 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Semasa prosiding berlangsung, Timbalan Pendakwa Raya, J Banusha memohon mahkamah memberikan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Sementara itu, peguam, Lim Wei Yong pula memohon tertuduh dikenakan ikat jamin yang rendah kerana hanya memperolehi pendapatan sekitar RM1,200 sebulan dan perlu menyara seorang isteri serta seorang anak perempuan.

Menurutnya, tertuduh juga disahkan menghidap penyakit darah tinggi dan perlu mendapatkan rawatan berkala di hospital selain mempunyai kad rawatan.

Artikel Berkaitan:

Majistret kemudiannya menetapkan ikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Mahkamah juga menetapkan 19 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Alor Setar pula, Mohd Shazwan Idzauddin bersama dua lagi tertuduh, Muhammad Zaki Zabani Osman, 28, dan Zazimi Hamid, 41, didakwa cuba merompak Boon Hau secara berkumpulan.

Walau bagaimanapun, Muhammad Zaki Zabani dan Zazimi mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali.

Berdasarkan pertuduhan, mereka secara bersama-sama cuba melakukan rompakan berkumpulan ke atas wang ringgit milik lelaki itu di hadapan sebuah farmasi di Kuala Kedah, pada tarikh dan waktu yang sama.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Tiada jaminan ditawarkan terhadap mereka yang tidak diwakili peguam dan mahkamah menetapkan 28 April depan sebagai tarikh sebutan semula.