Israel 'tertampar' anjakan paradigma AS

Biden semakin bingung selepas Netanyahu semakin tidak terkawal kerana terlalu mengejar matlamat utama untuk menghapuskan Hamas di Genting Gaza.
Biden semakin bingung selepas Netanyahu semakin tidak terkawal kerana terlalu mengejar matlamat utama untuk menghapuskan Hamas di Genting Gaza.
A
A
A

WASHINGTON - Hubungan masa perang antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mencapai paras terendah pada Isnin selepas Washington tidak lagi memveto resolusi gencatan senjata Gaza di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang turut memberi 'tamparan maut' kepada pemimpin ekstremis tersebut.

Berang dengan pendirian berkecuali sekutu kuatnya, Netanyahu secara tiba-tiba membatalkan lawatan ke AS dijadualkan pada minggu ini yang bertujuan membincangkan pelan ofensif di bandar Rafah, selatan Genting Gaza.

“Ia menunjukkan 'pengunduran yang jelas' daripada kedudukan AS sebelum ini dan pastinya akan menjejaskan operasi ketenteraan Israel,” ujar pejabat Netanyahu dalam satu kenyataan.

Washington cuba 'memujuk' rejim Tel Aviv dengan menyatakan tiada apa yang berubah tentang dasar mereka dan menyifatkan keputusan terburu-buru sekutunya sebagai 'tindak balas keterlaluan'.

Keputusan menunda mesyuarat itu meletakkan cabaran baharu terhadap usaha Washington yang mahu menghalang operasi berskala besar ke atas bandar bersempadan Mesir berkenaan selepas ia turut menzahirkan kebimbangan berikutan malapetaka kemanusiaan yang semakin meruncing di wilayah terkepung tersebut.

AS menentang pelan ofensif ke atas Rafah selepas bandar paling selatan Gaza itu kini menjadi tempat berlindung lebih sejuta penduduk Palestin.
AS menentang pelan ofensif ke atas Rafah selepas bandar paling selatan Gaza itu kini menjadi tempat berlindung lebih sejuta penduduk Palestin.

Sejak dari awal, pelan serangan berskala besar di Rafah itu telah meningkatkan ketegangan antara kedua-dua sekutu berkenaan malah timbul persoalan sama ada AS mungkin akan menyekat bantuan ketenteraan jika Netanyahu tidak lagi mengikut telunjuk Biden.

“Hal ini menunjukkan kepercayaan antara pentadbiran Biden dan Netanyahu mungkin akan runtuh pada bila-bila masa. Jika krisis itu tidak ditangani dengan betul, ia dikhuatiri menjadi lebih teruk,” kata bekas perunding untuk pentadbiran Republikan dan Demokrat di Asia Barat, Dr Aaron David Miller.

Artikel Berkaitan:

Keputusan Biden untuk mengambil tindakan berkecuali ketika undian di ibu pejabat PBB di New York mengejutkan banyak pihak setelah ia setia mematuhi dasar lama AS untuk mempertahankan Israel di badan dunia tersebut.

Ia jelas menunjukkan kekecewaan Amerika yang semakin meningkat terhadap pemimpin Israel tersebut yang terlalu mengejar matlamat utama untuk menghapuskan Hamas tanpa memikirkan impak terhadap orang awam di Gaza.

Biden yang bakal bertanding semula pada Pilihan Raya Presiden dijadualkan pada November depan berdepan tekanan daripada kalangan anggota Parti Demokrat supaya mengekang perang genosid di Gaza.

Sementara itu, Netanyahu juga berdepan desakan anggota berhaluan kanan yang menggesa tindakan lebih kejam ke atas penduduk Palestin selain protes dilancarkan ahli keluarga tawanan yang menuntut pembebasan segera kumpulan itu.

PERBEZAAN MAKIN KETARA

Sejak lebih lima bulan lalu, Washington berulang kali menolak istilah 'gencatan senjata' di Gaza dan menggunakan kuasa veto mereka untuk melindungi Israel.

AS akhirnya akur dengan desakan global supaya melaksanakan tempoh bertenang di wilayah itu yang kini diancam krisis kebuluran.

Cabaran utama Biden dan Netanyahu adalah untuk memastikan 'perbezaan' mereka pada masa ini tidak menjadi lebih teruk.

Kemusnahan dahsyat akibat perang ganas yang berlarutan lebih lima bulan lalu.
Kemusnahan dahsyat akibat perang ganas yang berlarutan lebih lima bulan lalu.

“Tiada sebab hubungan itu boleh berantakan walaupun kedua-duanya sudah tidak lagi sekapal,” kata Pengarah Program Asia Barat di Pusat Pemikir Kajian Strategik dan Antarabangsa di Washington, Dr Jon Alterman yang kononnya yakin ia masih lagi boleh diselamatkan.

Tetapi, anjakan paradigma AS dijangka memburukkan lagi perpecahan antara Biden dan Netanyahu.

Pada awal bulan lalu, menerusi wawancara bersama MSNBC, Biden menyifatkan pencerobohan ganas ke atas Gaza adalah 'garisan merah' malah ia mendedahkan sistem pertahanan Israel kini berada di tahap 'kritikal'.

Netanyahu berulang kali menolak kritikan Presiden AS tersebut dan tetap berkeras mahu meneruskan ofensif berskala besar itu meskipun dibantah komuniti antarabangsa.

Beberapa minggu selepas itu, Pemimpin Majoriti Senat AS, Chuck Schumer pula mendakwa Netanyahu sebagai penghalang keamanan dan menggesa pilihan raya baharu diadakan untuk memilih penggantinya.

Biden menyebut ia sebagai 'ucapan yang baik' ketika Netanyahu terus diasak dengan kutukan komuniti antarabangsa.

Sehingga kini, pemimpin itu tidak ambil peduli dan ia kini bersedia untuk menguji tahap toleransi Washington memandangkan ia mendapat sokongan meluas dalam kalangan anggota 'ekstremis' untuk meneruskan perang genosid tersebut walaupun risiko pengasingan antarabangsa semakin meningkat.

Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich pernah berkata, Israel adalah rakan kongsi Washington, namun AS bukan 'negara penaung' mereka. - Agensi

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28