Penggiat seni perlu semak garis panduan sebelum siarkan karya

Zulkifli (dua dari kanan) menunjukkan buku Garis Panduan Persembahan Seni Berbudaya USIM.
Zulkifli (dua dari kanan) menunjukkan buku Garis Panduan Persembahan Seni Berbudaya USIM.
A
A
A

NILAI - Penggiat seni dan industri kreatif perlu sentiasa menyemak garis panduan yang digariskan pihak bertanggungjawab dalam menghasilkan sebarang karya sebelum menerbitkannya bagi mengelakkan ketidakharmonian dalam masyarakat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, ia berikutan pihaknya tidak mahu hal sama berulang sepertimana yang berlaku dalam poster filem Sijjin yang dilihat menyentuh sensitiviti umat Islam.

Menurutnya, bahagian penyelidikan di peringkat pihaknya sudah pun menghasilkan penyelidikan ringkas berkenaan isu-isu berbangkit berkaitan industri itu.

Zulkifli (tiga dari kiri) melihat sedutan video berkaitan buku Garis Panduan Persembahan Seni Berbudaya USIM
Zulkifli (tiga dari kiri) melihat sedutan video berkaitan buku Garis Panduan Persembahan Seni Berbudaya USIM

"... Bermakna kita sudah ada pasukan yang memantau dan sebagainya. Kalau kita lihat daripada aspek Sijjin ini, lebih merujuk kepada Lembaga Penapisan Filem dan Kementerian Komunikasi.

"Di peringkat Jabatan Hal Ehwal Agama boleh memantau dan memberikan panduan kerana kita sudah ada beberapa garis panduan yang boleh menjadi rujukan kepada semua," katanya selepas selesai Majlis Pelancaran Buku Garis Panduan Persembahan Seni Berbudaya Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini pada Selasa.

Zulkifli berkata, namun begitu apa yang diharapkan selepas ini adalah untuk memastikan apa-apa bahan dari luar itu perlulah mendapat kelulusan dan tidak menyentuh elemen-elemen tertentu terutamanya sensitiviti masyarakat.

Media sebelum ini melaporkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) sudah mengarahkan Golden Screen Cinemas (GSC) selaku pengedar filem seram terbitan syarikat produksi Indonesia, Sijjin untuk menarik balik dan membuat penukaran poster.

Artikel Berkaitan:

Ia berikutan poster rasmi yang dikeluarkan sebelum ini dilihat menyentuh sensitiviti umat Islam apabila memaparkan kalimah 'ALLAH' dalam bahasa Arab pada kain hitam yang membaluti seorang wanita dipercayai sedang dirasuk.

Zulkifli (empat dari kiri) merasmikan buku Garis Panduan Persembahan Seni Berbudaya USIM di Nilai pada Selasa.
Zulkifli (empat dari kiri) merasmikan buku Garis Panduan Persembahan Seni Berbudaya USIM di Nilai pada Selasa.

Sementara itu, mengulas mengenai buku berkenaan, Zulkifli berkata, percaya garis panduan itu tidak menyekat kebebasan khususnya para pelajar untuk menceburi bidang seni budaya.

"Besar harapan saya dengan adanya Garis Panduan ini akan memberi manfaat khususnya kepada para mahasiswa USIM dalam membentuk sahsiah yang baik dan memperkasakan jati diri dan mencintai seni warisan bangsa," katanya.

Penerbitan buku ini bertujuan memberi informasi tepat kepada penganjur, badan- badan pelajar, warga USIM khususnya dan pihak yang berkepentingan amnya dalam melaksanakan program persembahan seni budaya dan penerbitan seni.

Ia menumpukan kepada tiga bidang persembahan seni sebagai fokus utama iaitu Penerbitan Seni, Seni Persembahan dan Seni Visual.