Hafiz 30 juzuk al-Quran raih keputusan cemerlang STAM

Nik Abdullah Hanif bersama ibunya, Mariam Jameelah selepas muncul sebagai pelajar terbaik STAM 2023 di Terengganu.
Nik Abdullah Hanif bersama ibunya, Mariam Jameelah selepas muncul sebagai pelajar terbaik STAM 2023 di Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sentiasa istiqamah mengulang kaji pelajaran serta menjaga hubungan baik sesama insan antara rahsia kecemerlangan bagi seorang penghafaz 30 juzuk al-Quran untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang diumumkan pada Selasa.

Nik Abdullah Hanif Nik Mohd Akbari, 19, yang menerima sembilan Mumtaz dan satu Jayyid Jiddan itu muncul sebagai pelajar terbaik STAM 2023 di Terengganu.

Katanya, dia sering menghubungi ibunya, Mariam Jameelah Ishak, 40, setiap kali berasa hampir putus asa untuk mendapatkan kata-kata semangat dan doa daripada insan yang telah melahirkannya.

"Tips untuk meraih kecemerlangan dengan sentiasa menjaga hubungan baik dengan keluarga, guru serta rakan-rakan.

"Malah saya sering berjumpa guru untuk bertanyakan soalan dan berbincang dengan kawan-kawan mengenai masalah dihadapi dalam pembelajaran.

"Selain itu, membaca al-Quran setiap hari juga umpama terapi buat saya setiap kali berdepan kesukaran dalam pelajaran," katanya ketika ditemui pemberita selepas pengumuman Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, di sini pada Selasa.

Nik Abdullah Hanif juga menyatakan hasrat untuk melanjutkan pengajian di Universiti Islam Madinah di Arab Saudi dalam bidang muamalat.

Dia antara tujuh pelajar cemerlang STAM Terengganu 2023 yang diumumkan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Jelani Sulong di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin di sini.

Artikel Berkaitan:

Pada tahun ini, Nilai Gred Purata Negeri Terengganu ialah 2.79 mengatasi Nilai Gred Purata Kebangsaan 3.09 dengan perbezaan nilai sebanyak 0.30 dan peningkatan nilai 9.7 peratus.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!