Tiga warga asing termasuk wanita ditahan kes samun, ragut

Shahrulnizam menunjukkan barangan yang dirampas berkaitan kes samun dan ragut. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Shahrulnizam menunjukkan barangan yang dirampas berkaitan kes samun dan ragut. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

PETALING JAYA - Polis berjaya menumpaskan satu kumpulan yang aktif melakukan jenayah samun dan meragut di sekitar daerah ini dengan tertangkapnya tiga individu termasuk seorang wanita warga asing, pada 17 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail berkata, pihaknya menahan dua lelaki berusia 40-an yang menaiki sebuah motosikal Yamaha Y15ZR di kawasan perumahan pada jam 6 pagi di Kelana Jaya, di sini.

"Semasa tangkapan dilakukan, suspek cuba melarikan diri dan telah melanggar motosikal milik anggota polis, kemudian motosikal dinaiki suspek terbabas.

"Kedua-dua lelaki warga asing itu gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri, kita telah merampas pakaian dan topi keledar, telefon bimbit.

"Kita turut merampas seutas rantai tangan, dua pasang anting-anting emas, dua utas rantai leher dan tiga keping surat pajak gadai," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, pada Selasa.

Shahrulnizam berkata, hasil soal siasat polis memberkas seorang wanita berusia 30-an.

"Modus operandi kumpulan itu adalah mereka menyasarkan mangsa yang pergi ke tempat kerja pada waktu pagi.

"Wanita itu berperanan sebagai orang tengah yang menjual hasil samun dan ragut daripada rakam senegara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, dengan tertangkapnya suspek polis dapat menyelesaikan enam kes samun dan ragut di sekitar daerah itu.

"Kesemua suspek telah direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam kes berasingan, Shahrulnizam berkata, seorang lelaki berusia 20-an diberkas kerana disyaki terlibat dalam Kes pecah cermin kereta di sekitar Kelana Jaya, di sini, pada Jumaat lalu.

"Suspek ditahan di sebuah rumah di Taman Putra Damai, di sini, pada jam 12.49 tengah hari. Pemeriksaan di dalam rumah itu, kita telah menjumpai barangan hasil dari pecah cermin kereta.

"Kita telah merampas dua unit 'android player', satu unit 'DVD player MP3', dua unit 'Smart Tag', 11 keping kad 'Touch N Go' dan sebuah telefon bimbit," katanya.

Beliau berkata, semakan rekod lampau ke atas suspek mempunyai empat rekod melibatkan kesalahan jenayah narkotik.

"Tertangkapnya suspek, kita dapat menyelesaikan enam kes pecah cermin kereta. Suspek telah direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 / 427 Kanun Keseksaan," katanya.