Padang MBK 1 lokasi utama World #QuranHour di Pahang

Padang MBK 1 berhadapan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini dipilih sebagai lokasi Program World #QuranHour peringkat negeri Pahang yang akan berlangsung 4 April ini. Gambar kecil: Mohd Rozamli Mohd Rozak
Padang MBK 1 berhadapan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini dipilih sebagai lokasi Program World #QuranHour peringkat negeri Pahang yang akan berlangsung 4 April ini. Gambar kecil: Mohd Rozamli Mohd Rozak
A
A
A

KUANTAN - Padang Majlis Bandaraya Kuantan 1 (MBK 1) berhadapan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini dipilih sebagai lokasi Program World #QuranHour peringkat negeri Pahang yang akan berlangsung 4 April ini.

Setiausaha Sekretariat Rumah Ngaji Pahang, Mohd Rozamli Mohd Rozak berkata, sambutan kali ini mencipta kelainan dan sangat istimewa kerana diadakan secara terbuka di tengah padang menghadap masjid.

Menurutnya, berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya di mana ia diadakan dalam ruangan masjid.

"Padang MPK 1 juga lokasi popular dan menjadi tumpuan ramai untuk berbuka puasa secara santai setiap kali Ramadan

"Lokasi ini sememangnya sudah terisi dengan aktiviti iftar setiap petang dan sesuai dengan program ini yang akan diadakan bermula jam 6 hingga 7 petang hari berkenaan," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Mohd Rozamli berkata, secara tidak langsung program World #QuranHour yang akan diadakan di lokasi itu nanti menjadi sebahagian aktiviti pengisian rohani kepada orang ramai.

"Program ini Insya-ALLAH dapat menarik perhatian orang ramai berkumpul untuk 'healing' dengan tadabbur al- Quran sementara menunggu waktu berbuka," ujarnya.

Beliau berkata, World #QuranHour peringkat negeri Pahang kali ini dianjurkan bersama Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Pertubuhan Rumah Ngaji Pahang.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, program ini juga turut diadakan masjid-masjid dan rumah-rumah ngaji di negeri ini.

"Kita juga menghantar surat kepada Jabatan Pendidikan Negeri Pahang syorkan program World #QuranHour dilaksanakan institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan (KPM) termasuk sekolah," katanya.

Tambah beliau, tiada sasaran penyertaan ditetapkan kerana program ini terbuka dan umum.

"Bagaimanapun kami yakin ia akan mendapat sambutan sesuai dengan lokasi utama yang dipilih yang sememangnya penuh dengan orang ramai setiap petang sepanjang Ramadan.

"Ia juga berlangsung santai untuk orang ramai dengan penyertaan pegawai masjid, warga JAIP dan komuniti warga Kuantan," jelasnya.

Beliau berkata, al Quran adalah penawar hati dan penyegar kerungsingan hidup.

"Melalui penganjuran World #QuranHour saban tahun dengan surah-surah pilihan mampu mengangkat pemikiran dan kesedaran umat Islam untuk terus berhubung dan berinteraksi al- Quran dalam kehidupan seharian.

"Surah al Jumu'ah yang menjadi surah pilihan kali ini mengajak ummah untuk reset diri dengan tilawah, tazkiyah, ta'lim dan hikmah.

"Surah itu sebagai misi penting ketika keadaan dunia hari ini berdepan penghakisan nilai diri dan masyarakat disebabkan kesombongan, takut mati, hiburan dan perniagaan hingga ramai hilang punca untuk menyelesaikan konflik yang berlaku," jelasnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28