Penat bekerja jadi alasan tidak puasa

Mohd Fared (kanan) menyoal dua lelaki (duduk) ketika Op Kesan dilakukan JAINJ di sekitar bandar raya Johor Bahru.
Mohd Fared (kanan) menyoal dua lelaki (duduk) ketika Op Kesan dilakukan JAINJ di sekitar bandar raya Johor Bahru.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Penat bekerja antara alasan individu yang dikesan tidak berpuasa ketika Op Kesan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di tiga lokasi sekitar bandar raya ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, pihaknya mengeluarkan empat notis saman termasuk kepada dua individu tidak berpuasa ketika operasi selama dua jam bermula jam 12 tengah hari pada Isnin.

"Sedih untuk saya katakan, kami telah mengeluarkan Notis Saman Hadir kepada beberapa individu dalam operasi ini bagi tindakan susulan.

"Dua notis kepada peniaga dan dua lagi kepada individu tidak berpuasa.

"Kesemua notis kesalahan yang dikeluarkan dibuat mengikut Seksyen 15(a) dan Seksyen 15(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 yang memperuntukkan hukuman denda RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya," katanya.

Beliau berkata, operasi berkenaan membabitkan 10 anggota penguat kuasa JAINJ.

"Operasi seperti ini akan terus dijalankan bagi memberi peringatan dan kegerunan kepada mana-mana orang Islam yang dengan sengaja tidak menghormati kemuliaan bulan Ramadan termasuk mengenakan tindakan perundangan ke atas mereka.

"Operasi dijalankan bagi memantau dan mencegah ketidakpatuhan umat Islam kepada ibadah puasa.

Artikel Berkaitan:

"Usaha ini bagi mendidik dan menguatkuasakan perundangan kerana terdapat pekedai dan pelanggan yang secara terbuka makan serta minum juga merokok sewaktu tempoh berpuasa," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28