Guru dipecat tidak hadir sekolah kerana fobia air gagal dapat kebenaran merayu

Yahaya gagal memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan pemecatannya adalah sah.
Yahaya gagal memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan pemecatannya adalah sah.
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang guru sekolah rendah gagal memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk meneruskan usaha bagi membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan pemecatannya kerana tidak hadir ke sekolah selama 1,535 hari adalah sah.

Panel tiga hakim terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Rhodzariah Bujang membuat keputusan untuk menolak permohonan Yahaya Wahi.

Dalam penghakimannya, Abang Iskandar berkata, permohonan Yahaya gagal memenuhi kehendak Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

"Tiada persoalan undang-undang yang baharu atau isu kepentingan awam yang perlu diputuskan dengan lebih lanjut,” katanya.

Individu yang ingin meneruskan rayuan ke Mahkamah Persekutuan perlu memperoleh kebenaran untuk berbuat demikian dan hendaklah meyakinkan mahkamah bahawa rayuan itu mengandungi persoalan undang-undang baharu yang mempunyai kepentingan awam serta dibangkitkan buat pertama kali untuk diputuskan oleh mahkamah.

Yahaya, 44, dipecat daripada perkhidmatan perguruan pada 9 Ogos 2019 dan semua emolumen beliau dihentikan mulai 6 Ogos tahun yang sama.

Guru sains dan matematik itu gagal melaporkan diri di sebuah sekolah di Gerik, Perak pada tarikh sepatutnya dan hanya berbuat demikian pada 3 April 2013 serta mula mengajar pada 16 Mei 2017.

Ini kerana beliau yang mengalami fobia air selepas hampir lemas semasa kanak-kanak manakala abangnya meninggal dunia dalam kejadian itu terpaksa menyeberang tasik untuk ke sekolah dengan menaiki bot.

Artikel Berkaitan:

Yahaya telah menerima rawatan di sebuah hospital kerajaan di Sungai Petani, Kedah dan dirujuk ke Jabatan Psikiatri untuk penilaian lanjut pada 2015.

Beliau telah memaklumkan keadaan kesihatannya kepada pengetua sekolah berkenaan selepas tindakan tatatertib dibuat terhadapnya pada 2019.

Dalam tempoh empat tahun ketidakhadirannya, beliau cuba berunding dengan pihak yang berkaitan dan memohon untuk bertukar sekolah namun tidak diendahkan.

Beliau memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Taiping untuk membatalkan pemecatannya dan dilantik semula sebagai guru di mana-mana sekolah lain yang boleh dikunjungi melalui jalan darat.

Yahaya menamakan bekas Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran, Tan Sri Khair Mohamad Yusof, Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Perak, Jabatan Pendidikan Perak, Kementerian Pendidikan dan kerajaan sebagai responden.

Pada 31 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan semakan kehakiman Yahaya dan memberikan perintah certiorari untuk mengetepikan keputusan responden yang memecatnya daripada perkhidmatan.

Bagaimanapun, keputusan itu telah dibatalkan Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa penamatannya daripada perkhidmatan adalah tidak menyalahi undang-undang.

Peguam Chan Kean Li mewakili Yahaya manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly@Arwi mewakili responden. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28