X

Kindly register in order to view this article
!

Empat maut dalam tempoh empat hari nahas di Sibu

A
A

SIBU - Seorang buruh binaan menjadi mangsa kemalangan maut keempat dalam tempoh empat hari di sini, apabila kereta yang dipandunya melanggar pembetung konkrit di Jalan Rantau Panjang awal pagi ini.

Dalam kejadian itu, Lineker Sadin, 30, dikatakan dalam perjalanan balik dari Durin ke kediamannya di Rantau Panjang dan disahkan meninggal dunia semasa ditemukan kira-kira 9.25 pagi, namun kemalangan kendiri itu dipercayai berlaku pada waktu subuh.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Johnathan Ringgit dalam kenyataan hari ini berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sibu untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pada Jumaat lepas, seorang ibu, Christina Umie Jalin, 25, maut sementara anak lelakinya yang berusia 1 tahun 9 bulan cedera parah di kepala selepas kereta yang dipandunya dilaporkan hilang kawalan dan melanggar sebatang pokok di Jalan Salim-Stabau.

Sehari sebelum itu, seorang pemandu dan seorang kelindan lori membawa muatan telur ayam maut apabila lori dinaiki hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar pokok di tepi Jalan Paradom di sini. - Bernama