Isteri bekas penyanyi nasyid tangguh rawatan kanser demi cari rezeki

Noor Diana menjual biskut raya di gerai Diana's Cookiss and Cakes di Angsana Mall Johor Bahru bagi menyara keluarganya
Noor Diana menjual biskut raya di gerai Diana's Cookiss and Cakes di Angsana Mall Johor Bahru bagi menyara keluarganya
A
A
A

JOHOR BAHRU - Isteri kepada bekas ahli kumpulan nasyid Iman Heart, Noor Diana Hashim yang sedang bertarung kanser payudara tahap tiga sanggup menangguh rawatan semata-mata mahu mencari rezeki di bazar Ramadan selepas suaminya dirawat di hospital ketika ini.

Noor Diana, 45, diuji dengan kanser payudara sejak September 2021 manakala suaminya, Zek Ayry Khan, 45, pula mengalami masalah cakera tulang belakang teranjak (slipped disc) dengan keadaannya bertambah buruk sejak lima bulan lalu.

Selain itu, Noor Diana turut menjalani pembedahan pembuangan ketumbuhan pada November tahun lalu selepas menjalani rawatan kemoterapi sejak Disember 2021 hingga April tahun lalu.

Namun kini dia menangguhkan rawatan enam kitaran kemoterapi diikuti radioterapi di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini untuk mencari pendapatan keluarga dengan berniaga biskut raya di gerai Diana's Cookiss and Cakes, Bazar Ramadan Angsana Mall Johor Bahru di sini.

"Saya perlu menanggung perbelanjaan termasuk rawatan susulan suami mahupun saya, perbelanjaan dapur keluarga dan persekolahan anak.

"Dua anak lelaki saya membantu sekadar yang mampu kerana mereka hanya bekerja biasa," katanya.

Noor Diana berkata, doktor menyatakan sel kanser dihadapinya agresif dan boleh merebak ke organ lain, namun dia terpaksa menangguh rawatan radioterapi demi mencari rezeki di bazar Ramadan bagi meringankan beban keluarga.

"Alhamdulillah buat masa ini saya masih sihat, namun doktor menasihati saya supaya menjalani kemoterapi kerana tempoh rehat selepas rawatan sebelum ini sudah tamat.

Artikel Berkaitan:

"Saya meminta jasa baik doktor untuk menangguh rawatan kerana perlu menyelesaikan beberapa perkara.

Zeke Ayry masih dirawat di HSA Johor Bahru sehingga kini selepas menjalani implan tulang belakang awal minggu lalu
Zeke Ayry masih dirawat di HSA Johor Bahru sehingga kini selepas menjalani implan tulang belakang awal minggu lalu

"Saya terpaksa berserah kepada ALLAH kerana buat masa ini saya perlu menjaga suami selain mencari rezeki bagi keluarga termasuk anak bongsu perempuan yang masih bersekolah dan berharap dapat menjalani rawatan pada Syawal," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Isnin.

Bercerita lanjut, Noor Diana berkata, suaminya yang baharu menjalani implan tulang belakang di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini pada awal minggu lalu masih menjalani rawatan dan dijangka dibenarkan pulang dalam tempoh masa terdekat.

Katanya, pekerjaan yang mampu dilakukan ketika ini adalah berniaga biskut raya mulai pagi hingga malam.

Dia tidak dapat lagi meneruskan kerja lamanya sebagai perancang majlis manakala suaminya sebelum ini bekerja sebagai pengamal perubatan tradisional selepas berehat sementara daripada dunia hiburan.

Noor Diana berniaga jenis biskut raya antaranya 'Almond Crunchy'; 'Gajus Crunchy'; 'Choco Stik Almond' dan 'Red Pearl' pada harga RM35 sebalang atau RM100 bagi tiga balang selain 'Biscof Tart'; 'Red Velvet Nutella'; 'Red Velvet Tart'; 'Biscof Pod' dan 'Tart Nenas Cheese' pada harga RM40 sebalang atau RM110 tiga balang.

"Saya mengekalkan harga lama dan kebanyakan biskut ini dibeli daripada kenalan saya.

"Keuntungan saya bukan banyak, namun sekurang-kurangnya ia mampu menampung perbelanjaan pada masa kini," katanya.

Pada masa sama dia turut berterima kasih kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) yang membiayai kos pembedahan suaminya berjumlah RM9,400.

Menurutnya, tempoh penyembuhan suaminya juga bergantung kepada keadaan kesihatan serta kekuatan mental.

Orang ramai boleh menghubungi Noor Diana di talian 017-789 8100 atau menyalurkan sumbangan kepada Noor Diana Hashim di akaun Am Bank 1040070003182.

@sinarharianonline

Isteri bekas penyanyi nasyid tangguh rawatan kanser demi cari rezeki #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Semasa #Nasional #Edisi #Johor #Penyanyi #Nasyid #Isteri #Kanser #Ramadan

To Guide You Home - Sami Yusuf