Perak terima 119 aduan pembakaran terbuka akibat cuaca panas

Kok Lim (tengah) menunjukkan papan tanda larangan aktiviti pembakaran terbuka yang dipasang di tapak sampah haram di Kawasan Perindustrian Gopeng semasa tinjauan pada Isnin.
Kok Lim (tengah) menunjukkan papan tanda larangan aktiviti pembakaran terbuka yang dipasang di tapak sampah haram di Kawasan Perindustrian Gopeng semasa tinjauan pada Isnin.
A
A
A

GOPENG - Perak merekodkan 119 aduan pembakaran terbuka dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini akibat cuaca panas.

Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Teh Kok Lim berkata, data dikumpul Jabatan Alam Sekitar (JAS) itu dianggap tinggi berbanding 283 kes yang diterima sepanjang tahun lalu.

Menurutnya, kebanyakan kes pembakaran terbuka tersebut melibatkan tanah gambut, tapak pelupusan sampah, belukar, hutan dan kebakaran jerami padi.

"Sejak Januari hingga Mac juga, kita telah menyenaraikan 15 lokasi panas berlakunya pembakaran terbuka dalam skala yang besar antaranya hutan di Hulu Perak dan sawah di Kerian serta Teluk Intan.

"Kawasan-kawasan ini telah diberi perhatian dan pemantauan ketat oleh anggota JAS melalui rondaan kenderaan dan udara dengan menggunakan dron," katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan berisiko terbakar di Kawasan Perindustrian Gopeng di sini pada Isnin.

Hadir sama, Pengarah JAS Perak, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh.

Kok Lim akui, cuaca panas dan kering ketika ini menyumbang kepada peningkatan kejadian pembakaran terbuka terutama di kawasan mudah terbakar.

Kok Lim (dua dari kanan) semasa meninjau aktiviti pembakaran terbuka di Kawasan Perindustrian Gopeng pada Isnin. Gambar kecil: Dron turut digunakan bagi pemantauan aktiviti pembakaran terbuka terutama di kawasan mudah terbakar termasuk tapak pelupusan sampah.
Kok Lim (dua dari kanan) semasa meninjau aktiviti pembakaran terbuka di Kawasan Perindustrian Gopeng pada Isnin. Gambar kecil: Dron turut digunakan bagi pemantauan aktiviti pembakaran terbuka terutama di kawasan mudah terbakar termasuk tapak pelupusan sampah.

Artikel Berkaitan:

Katanya, perkara itu sekiranya tidak ditangani akan menyebabkan kemerosotan kualiti udara, keadaan jerebu setempat dan menjejaskan kesihatan awam.

"Perak telahpun mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK) bagi melibatkan pelbagai agensi dalam pencegahan dan pemadaman kebakaran terbuma ini.

"Setakat ini, kualiti udara di Perak masih pada tahap sederhana. Tiada kawasan yang mencatatkan bacaan tidak sihat," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan Perak sedia meneliti keperluan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan perindustrian yang berisiko berlakunya pembakaran terbuka.

Jelasnya, berdasarkan pemantauan dilakukan, terdapat banyak longgokan sisa pepejal kilang-kilang dibuang di tapak pembuangan haram yang mengundang berlakunya pembakaran terbuka.

"Dengan adanya CCTV, kita boleh pantau kenderaan berat yang keluar masuk di jalan tersebut.

"Berdasarkan nombor kenderaan itu, kita boleh cari sumbernya dari kilang mana untuk diambil tindakan tegas," katanya

Kok Lim berkata, sebagai permulaan, Kawasan Perindustrian Gopeng akan dipilih sebagai perintis pemasangan CCTV tersebut sebelum diperluaskan ke seluruh negeri.

"Kita dapat kesan ada lebih 10 longgokan sisa pepejal di kawasan ini antaranya longgokan penapis udara dan bekas sarung tangan.

"Keadaan ini tak sepatutnya berlaku kerana kerajaan negeri sudahpun wujudkan tapak pelupusan khas sisa kilang, tetapi masih ada pihak ambil kesempatan buang di tempat tidak sepatutnya secara percuma," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!