Cukuplah cuaca panas, hati jangan panas

Murid sekolah antara golongan yang berisiko tinggi untuk mendapat kesan masalah kesihatan akibat pendedahan kepada cuaca panas. Foto hiasan
Murid sekolah antara golongan yang berisiko tinggi untuk mendapat kesan masalah kesihatan akibat pendedahan kepada cuaca panas. Foto hiasan
A
A
A

RAMADAN pada tahun ini agak mencabar dengan keadaan cuaca panas di seluruh negara.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), cuaca panas ketika ini dijangka kekal hingga pertengahan April berikutan kurangnya awan yang boleh membawa hujan.

Berdasarkan analisis model-model cuaca, MetMalaysia menjangkakan cuaca kering dan panas dengan suhu melebihi 35°C masih berlaku di kebanyakan tempat di Semenanjung dan Sabah sehingga April.

Sehingga Sabtu, data menunjukkan Perlis dan tujuh daerah di Kedah serta Hulu Perak, Perak diletakkan di bawah Tahap 2 Kriteria Cuaca Panas iaitu gelombang haba.

Suhu maksimum harian 37°C sehingga 40°C dijangka berlaku di seluruh Perlis, Kota Setar, Kubang Pasu, Padang Terap, Pokok Sena, Sik dan Baling serta Hulu Perak.

Perlis yang mengalami gelombang haba dengan suhu maksimum harian di negeri itu melebihi 37 darjah Celsius sejak 19 Mac lalu.

Selaras dengan itu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meminta institusi di bawahnya memberi pertimbangan kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana memakai pakaian sukan yang sopan berdasarkan kepada keperluan dan situasi semasa di institusi masing-masing.

KPM memaklumkan menerusi kenyataan memaklumkan Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan semua institusi pendidikan di bawah KPM diminta untuk melaksanakan langkah-langkah pencegahan seperti menangguhkan semua aktiviti luar bilik darjah jika cuaca terlalu panas.

Artikel Berkaitan:

Selain itu pihak terbabit perlu memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada keadaan cuaca panas bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas.

Semua institusi pendidikan KPM juga diminta supaya sentiasa berwaspada dan bekerjasama dengan klinik serta hospital berdekatan sekiranya berlaku sebarang komplikasi ke atas murid akibat cuaca panas.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan buat sementara waktu di lokasi yang merekodkan status cuaca panas Tahap 1.

Tahap 1 suhu maksimum harian sehingga 37°C sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abdu Hassan berkata, jika cuaca panas terus berpanjangan sehingga bertukar status gelombang haba, KPM perlu mengambil tindakan selanjutnya antaranya dengan menutup institut pendidikan di bawah kelolaannya.

KPM boleh bertindak mengikut Pelan Tindakan Bagi Menangani Gelombang Haba 2016, Pelan Tindakan Pengurusan Risiko Kesihatan Gelombang Haba 2021 yang dikeluarkan KKM selain Garis Panduan Penutupan Institusi Pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Semasa Cuaca Panas yang dikeluarkan pada 18 April 2023.

Pendedahan kepada cuaca panas yang berpanjangan boleh memudaratkan kesihatan terutama kepada golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas termasuk individu menghidap penyakit kronik.

Murid-murid sekolah antara golongan yang berisiko tinggi untuk mendapat kesan masalah kesihatan akibat pendedahan kepada cuaca panas disebabkan faktor fisiologi dan kurang pengambilan air.

Meskipun Sabah berada pada suhu maksimum 35°C namun Lahad Datu menjadi 'panas' berikutan pelajar kolej vokasional ditemukan maut di asrama pada Jumaat lalu dengan kesan lebam dan kecederaan pada tubuh dipercayai dipukul rakan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa, Mohammad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, dengan sekumpulan penghuni asrama berkaitan masalah kehilangan wang yang berlaku di asrama tersebut.

Susulan daripada itu, seramai 13 pelajar lelaki berusia antara 16 hingga 19 tahun yang disyaki terbabit dalam kes ini telah ditahan bagi membantu siasatan.

Jika benar, tidak sepatutnya pelajar terbabit mengotorkan tangan mereka dengan mengambil tindakan terburu-buru terhadap mangsa.

Sedangkan, ruang aduan kepada warden asrama terbuka luas.

Masih segar dalam ingatan kes penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain tujuh tahun lalu.

Cukuplah cuaca sahaja panas, hati jangan dibiar panas oleh nafsu dan hasutan.

Apa-pun alasannya, nyawa tiada galang gantinya.

* Tuan Buqhairah Tuan Muhamad Adnan ialah wartawan Sinar Harian.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28