Cuaca panas, kering dijangka berkurang awal April

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keadaan cuaca panas dan kering yang dialami negara ketika ini dijangka mula berkurangan pada awal April apabila fasa Peralihan Monsun dijangka berlaku dalam tempoh itu.

Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Maqrun Fadzli Mohd Fahmi berkata, fasa tersebut berlaku apabila terdapat perubahan arah angin daripada Monsun Timur Laut kepada Monsun Barat Daya.

"Kebiasaannya, pada fasa Peralihan Monsun ini, corak tiupan angin akan membawa kepada aktiviti hujan ribut petir di sebelah petang dan kita jangka situasi ini akan mula berlaku menjelang awal April.

"(Cuaca panas dan kering) masih akan bertahan sehingga seminggu ke hadapan tetapi kita harap dengan ada banyak aktiviti hujan akan berlaku (pada fasa Peralihan Monsun) ini akan meredakan kembali suhu yang agak tinggi sekarang ini,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Apa Khabar Malaysia di Bernama TV hari ini.

Maqrun Fadzli berkata dalam menghadapi cuaca panas, orang ramai dinasihati untuk memakai pakaian yang bersesuaian dan selesa serta mengurangkan aktiviti luar bagi mengurangkan kesan terhadap suhu yang tinggi ketika ini.

Malah, katanya MetMalaysia sentiasa bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk melakukan pembenihan awan bagi meningkatkan taburan hujan sekiranya terdapat keperluan dan sebarang maklumat akan diberitahu dari semasa ke semasa.

"Sebenarnya kalau kita lihat gelombang haba di Malaysia, tak begitu bahaya dibandingkan dengan negara lain seperti di India sehingga boleh menyebabkan kematian namun, kita memahami suasana tidak selesa yang dialami rakyat dalam keadaan panas, terutama pula dalam Ramadan, dugaan sedikit tinggi," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: