Tiga tahun siapkan novel 'Telapak Iblis'

Izzatin bersama novel sulungnya, ‘Telapak Iblis’. Novel Telapak Iblis kini berada di pasaran.
Izzatin bersama novel sulungnya, ‘Telapak Iblis’. Novel Telapak Iblis kini berada di pasaran.
A
A
A

SHAH ALAM - Minat menulis esei sejak dari bangku sekolah mendorong Izzatin Yasin menghasilkan novelnya sendiri.

Kecekalannya dan usaha anak jati Bayan Lepas, Pulau Pinang ini untuk mempelajari teknik penulisan cemerlang akhirnya membuahkan hasil apabila beliau berjaya menghasilkan novel sulungnya berjudul ‘Telapak Iblis’.

Menurut bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Tun Uda itu, novel genre seram yang mengambil masa selama tiga tahun untuk disiapkan itu diadaptasi dari pengalaman serta minatnya dalam dunia seram dan thriller.

Kisah bermula dengan penemuan kesan telapak kaki yang tertanam di dalam sebuah vila mewah menjadi pencetus insiden ganjil yang berlaku hingga kisah sebenar terbongkar.

Meskipun baru berusia 23 tahun, Izzatin berkata, pengalaman dalam menghasilkan novel pertamanya itu digunakan sebaik mungkin untuk menghasilkan karya lain selepas ini.

“Ketika di sekolah menengah, saya aktif menulis sidang redaksi sekolah selain pernah memenangi anugerah program Nilam.

“Saya memang meminati dunia seram, selalu beli buku seram terbitan dalam dan luar negara.

“Malah kalau ada filem seram baharu ditayangkan di pawagam, saya pasti akan pergi menonton dan dari situ timbul idea dan minat saya untuk menulis sesuatu yang luar biasa,” katanya yang meminati Siri Bercakap Dengan Jin karya Tamar Jalis.

Artikel Berkaitan:

Anak bongsu daripada dua beradik itu bersyukur kerana pihak Buku Prima sudi untuk menerbitkan karya pertamanya yang kini sudah berada di pasaran.

“Terima kasih kepada Buku Prima, Kumpulan Karangkraf kerana memberi peluang untuk mengenengahkan bakat saya.

“Saya juga berharap peminat novel seram di negara ini dapat menyokong dan membeli novel saya yang turut dijual secara dalam talian menerusi platform e-dagang Shopee dan juga karangkrafmall.com,” katanya kepada Sinar Harian

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28