Enam lelaki ditahan tunggang motosikal secara bahaya

Mohd Said
Mohd Said
A
A
A

SEREMBAN - Enam lelaki ditahan melalui Ops Samseng Jalanan kerana menunggang motosikal secara melulu dan merbahaya di kawasan Jalan Persiaran Senawang 1 di sini awal pagi ini.

Mereka yang ditahan di hadapan Lot Kedai City Idol, Cempaka Bisness Park berusia sekitar 19 hingga 26 tahun.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, polis turut menyita lima motosikal atas kesalahan termasuk bersaing sesama sendiri serta berulang-alik dari arah lampu isyarat Petron Taman Seri Pagi, menghala ke lampu isyarat Taman Matahari Heights.

"Kesemua mereka direman selama dua hari bermula hari ini dan akan dituduh di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987," katanya.

Menurutnya, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang dari RM5,000 dan tidak lebih daripada RM15,000.

Katanya, polis akan terus melakukan operasi secara berterusan bagi membendung masalah itu terutama di sekitar daerah Seremban.

Operasi kira-kira jam 4 pagi itu disertai tujuh anggota termasuk seorang pegawai daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban dengan kerjasama Jabatan Siasatan Polis Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan.

Artikel Berkaitan: