Jangan alpa 20 minit terakhir

Pemain-pemain Harimau Malaya giat menjalani latihan menjelang perlawanan menentang Oman di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa ini. Foto Football Association of Malaysia. (Gambar kecil: Afizal)
Pemain-pemain Harimau Malaya giat menjalani latihan menjelang perlawanan menentang Oman di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa ini. Foto Football Association of Malaysia. (Gambar kecil: Afizal)
A
A
A

PEMAIN-pemain skuad bola sepak negara perlu tampil dengan ketahanan dan kekuatan mental selepas Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 kembali menyingkap tirai jika mahu melangkah lebih jauh.

Malah, menurut Pengarah Pusat Sukan Universiti Malaya (UM), Afizal Abu Othman, kekalahan 0-2 Harimau Malaya kepada Oman juga memberi gambaran bahawa pesaing sudah mula mempamerkan karakter masing-masing selepas berakhir Piala Asia Qatar 2023 pada Februari lalu.

“Sekali lagi saya lihat kurangnya konsentrasi menjadi halangan utama kepada pasukan negara untuk membawa keputusan positif ketika berdepan Oman baru-baru ini.

“Ya, kita berjaya kekang permainan fizikal dan pantas pasukan Oman dengan baik separuh masa pertama. Namun separuh masa kedua kita hilang fokus apabila Oman meningkatkan tekanan terhadap bahagian pertahanan.

“Tekanan tinggi ini juga sebenarnya menyebabkan kita melepaskan dua gol pada minit ke-58 dan minit ke-88,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Sebagai rekod, Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon kecundang 0-2 kepada Oman di Stadium Kompleks Sukan Sultan Qaboos, pada Jumaat lalu.

Kekalahan itu menyaksikan status Harimau Malaya sebagai pendahulu Kumpulan D terkesan apabila menyusut ke tangga ketiga untuk berkongsi enam mata dengan tiga lagi pencabar lain termasuk Oman dan Kyrgyzstan.

Pada masa sama Afizal menyifatkan ketiadaan dua tonggak pertahanan, Matthew Davies dan Junior Eldstal memberi impak besar kepada bahagian benteng Harimau Malaya.

Artikel Berkaitan:

“Sejujurnya saya amat berharap kapten Harimau Malaya, Matt Davies dapat kembali mengisi posisinya dalam baki saingan. Sekiranya kita lihat separuh masa kedua posisi yang diisi Matt Davies sebelum ini menjadi sasaran jentera serangan Oman di Muscat.

“Jadi bahagian back four Harimau Malaya perlu diperkuatkan kembali selepas kita dapat lihat kesannya tanpa kudrat Matt Davies.

“Selain itu, pemain-pemain kita juga hilang fokus baki 20 minit terakhir mungkin kerana keletihan mengekang asakan bertali arus Oman yang menyaksikan pasukan tuan rumah berjaya menambah satu lagi jaringan,” katanya sambil menegaskan tiga mata merupakan misi wajib berdepan Oman di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Selasa ini.