KDN FC mahu bertemu penyokong bola sepak Kelantan

Para pemain bergambar dengan penaja KDN FC.
Para pemain bergambar dengan penaja KDN FC.
A
A
A

KELANTAN Darul Naim FC (KDN FC) berhasrat untuk mengadakan pertemuan dengan beberapa kelab penyokong bola sepak Kelantan selepas Aidilfitri bagi meraih sokongan peminat terhadap pasukan yang baharu dijenamakan semula itu.

Presiden KDN FC, Rozi Muhamad berkata, sokongan itu penting kerana KDN FC menjadi satu-satunya pasukan bola sepak Kelantan yang bersaing di Liga Super musim 2024/2025.

Rozi
Rozi

“Kami ada perancangan sebenarnya untuk bertemu dengan Ultras Kelantan Gate H Boys terutamanya untuk kita bawakan nama negeri ini.

“Kami nak membentuk satu kumpulan penyokong dan perancangan selepas raya akan ada berapa program yang disusun untuk kami turun ke daerah-daerah bertemu dengan penyokong-penyokong ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Logo KDN FC dan Iftar, di sini pada Ahad.

Turut hadir, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan yang merasmikan majlis itu.

Rozi (kiri) menyampaikan jersi sebagai cenderahati kepada Dr Mohamed Fadzli (kanan).
Rozi (kiri) menyampaikan jersi sebagai cenderahati kepada Dr Mohamed Fadzli (kanan).

Rozi berkata, dengan pertukaran logo dan penjenamaan semula pasukan itu diharap penyokong memahami hasrat pihaknya yang tidak mahu ada perlawanan antara kumpulan peminat bola sepak itu tetapi ingin penyatuan antara mereka.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, melihat terdapat perkembangan positif senario penyokong-penyokong bola sepak Kelantan di media sosial dan banyak perbezaan daripada sebelum ini selain dijangka akan mengambil sedikit masa lagi untuk berdamai atas segala perselisihan yang berlaku.

“Kami pun faham semangat fanatik pasukan memang kuat tetapi insya-Allah akan ada perubahan, kami nak minta supaya penyokong tinggalkan identiti kelab ataupun fanatik terhadap satu kelab sahaja sebaliknya lebih kepada menyokong negeri atau kelab yang mewakili negeri.

“Walaupun ada banyak kelab, tetapi mewakili negeri yang sama dan kami harap penyokong pun boleh bagi sokongan yang samalah,” katanya.

Dalam pada itu, Rozi memaklumkan kelab tersebut memperuntukkan sebanyak RM12 juta bagi mengurus lima pasukan bola sepak termasuk Liga Super, Liga Simpanan dan Piala Presiden.

“Dari sudut menguruskan bajet itu, kelab akan buat pengiraan dan melebihkan kepada pasukan Liga Super serta Piala Presiden.

“Pasukan lain itu, kami laksanakan strategi supaya kelab tidak menanggung kos sepenuhnya sekali gus menjimatkan bajet namun anggaran keseluruhannya berjumlah RM12juta,” katanya.

Sebelum itu, akhbar melaporkan KDN FC dijenamakan semula daripada Kelantan United FC (KUFC) atas hasrat untuk meraih sokongan peminat bola sepak Kelantan dengan turut menukar warna logo kijang hijau kepada kijang emas.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28