Treler muatan serbuk besi berundur sebelum terbalik

Insiden menyebabkan semua lorong arah utara terhalang sehingga kerja pembersihan selesai. Foto JBPM Perak
Insiden menyebabkan semua lorong arah utara terhalang sehingga kerja pembersihan selesai. Foto JBPM Perak
A
A
A

IPOH - Treler membawa muatan serbuk besi yang terlibat dalam kemalangan di lebuh raya laluan Ipoh ke Terowong Menora pada Ahad mengalami masalah teknikal mengakibatkannya mengundur sebelum terbalik.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, siasatan dijalankan mendapati pemandu telah memberhentikan treler di lorong kiri disebabkan mengalami kerosakan.

Menurutnya, pemandu berusia 50 tahun itu kemudiannya turun untuk membuat pemeriksaan.

"Sebaik lelaki itu turun dari kenderaan, secara tiba-tiba treler tersebut mengundur dan terbalik ke lorong kanan.

"Insiden menyebabkan semua lorong arah utara terhalang," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Beliau berkata, pemandu terbabit terselamat tanpa sebarang kecederaan dan nahas juga tidak melibatkan pengguna kenderaan lain.

Katanya, buat masa ini, punca kemalangan yang mengakibatkan aliran trafik terganggu teruk itu adalah disebabkan masalah teknikal.

Artikel Berkaitan:

Kerja-kerja pembersihan dilakukan anggota bomba di lokasi kejadian. Foto JBPM Perak
Kerja-kerja pembersihan dilakukan anggota bomba di lokasi kejadian. Foto JBPM Perak

"Kes telah diklasifikasikan di bawah Rule 14 LN 166/59" katanya.

Sinar Harian melaporkan, sebuah treler membawa muatan serbuk besi terbalik di Kilometer 262.9 Lebuhraya Utara Selatan arah utara mengakibatkan semua laluan antara Ipoh ke Terowong Menora terhalang.

Aliran trafik tidak bergerak bermula jam 4.52 pagi menyebabkan laluan kontra diaktifkan di Kilometer 262.65 hingga Kilometer 263.75 bagi mengurangkan kesesakan.

Laluan terbabit dibuka sepenuhnya kepada semua kenderaan bermula jam 4.15 petang selepas kerja-kerja pembersihan jalan selesai.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28