PH belum bincang kekosongan kerusi DUN Kuala Kubu Baharu - Saifuddin

Saifuddin. Foto Bernama
Saifuddin. Foto Bernama
A
A
A

POKOK SENA -Pakatan Harapan (PH) belum membincangkan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu buat masa ini berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu, Lee Kee Hiong pada Khamis.

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia bagi menghormati keluarga mendiang Kee Hiong.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, keluarga mendiang juga perlu diberikan ruang untuk berkabung selepas pemergian Kee Hiong.

"Tidak bincang lagi, tidak bincang apa-apa lagi. Baru lagi (pemergian mendiang). Kita hormat elok-eloklah. Kita tidak bincang lagi.

"Setakat ini, kita tak ada apa-apa. Biar keluarga dia berkabung dahulu barulah kita nak cakap politik," katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika mengulas sama ada PH sudah berbincang mengenai kekosongan kerusi DUN Kuala Kubu Baharu berikutan pemergian penyandangnya.

Saifuddin (tengah) melihat demonstrasi proses imbasan kad pengenalan pada program Mekar di Masjid An-Nur pada Jumaat.
Saifuddin (tengah) melihat demonstrasi proses imbasan kad pengenalan pada program Mekar di Masjid An-Nur pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Pada Khamis, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengesahkan ADUN Kuala Kubu Baharu, Kee Hiong meninggal dunia pada Khamis.

Amirudin berkata, Kee Hiong telah berkhidmat sebagai wakil rakyat di Kuala Kubu Baharu sejak tahun 2013.

Mendiang berusia 58 tahun dan dikatakan telah bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lalu.

Notis kekosongan kerusi DUN Kuala Kubu Baharu dijangka dimaklumkan kepada Pejabat Speaker DUN Selangor pada Isnin depan.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada Ogos tahun lalu, Kee Hiong menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Teoh Kien Hong dengan majoriti 4,119.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28