Firdaus Wong jawab tuduhan cuba sabotaj

Firdaus Wong
Firdaus Wong
A
A
A

SHAH ALAM - Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung mengesahkan pasar raya MyKampung fresh Mart miliknya, sudah dihentikan operasi sejak dua tahun lalu, sekali gus menolak dakwaan bahawa dirinya dikaitkan dengan cubaan untuk mensabotaj KK Mart berkaitan isu penemuan stoking tertera kalimah ALLAH.

Menurutnya, ia susulan terdapat hantaran pengguna media sosial yang seolah-olah cuba membina persepsi kononnya isu tersebut itu adalah disebabkan terdapat unsur sabotaj atas dasar persaingan perniagaan.

"Sedangkan jikalau mereka rajin membaca dan rajin mengkaji serta mengenali saya, mereka akan tahu bahawa MyKampung fresh Mart telah berhenti beroperasi lebih kurang dua tahun yang lepas.

"Jika mata mereka tiada masalah penglihatan, sudah tentu mereka akan dapat melihat tertera pembukaan adalah pada April 2021, bukan 2024.

"Sudah tentu jikalau fikiran mereka adalah rasional.

"Pastinya mereka akan berfikir banyak kali sebelum membuat hantaran sedemikian rupa," katanya menerusi hantaran video di TikTok pada Sabtu.

Tular di media sosial berkenaan pasar raya MyKampung Fresh Mart milik Firdaus Wong dikaitkan sebagai punca tercetusnya isu stoking dengan corak kalimah ALLAH di KK Mart.

Penemuan stoking tersebut didakwa mempunyai unsur-unsur sabotaj atas faktor persaingan perniagaan, yang turut mendorong gerakan boikot terhadap perniagaan diusahakan oleh Firdaus Wong.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Firdaus Wong menjelaskan, beliau tidak pernah menyebut atau menulis dirinya sebagai orang pertama yang menemui stoking tersebut, termasuk meminta agar masyarakat memboikot perniagaan KK Mart.

Bagaimanapun, beliau tidak terkesan sekiranya terdapat gerakan untuk memboikot perniagaannya yang lain disebabkan tuduhan tersebut.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana pada hari Jumaat di bulan Ramadan yang mulia ini, mereka ini telah menghadiahkan pahala mereka di atas fitnah-fitnah mereka ini.

"Sejujurnya saya sebagai seorang Muslim, saya tak kisah pun jikalau anda ingin melancarkan boikot ke atas perniagaan saya kerana ajal maut, rezeki, jodoh itu semua adalah ketentuan daripada ALLAH SWT bukannya daripada anda sebagai manusia," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

@sinarharianonline

Firdaus Wong jawab tuduhan cuba sabotaj KK Mart #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Semasa #Nasional #FirsdausWong #Pendakwah #KKMart #Sabotaj #Stoking ALLAH

Du'a - Sami Yusuf