53 kes pembakaran terbuka di Kelantan

JAS mengesan pembakaran terbuka di satu lokasi di Kota Bharu. Foto JAS
JAS mengesan pembakaran terbuka di satu lokasi di Kota Bharu. Foto JAS
A
A
A

KOTA BHARU - Sebanyak 68 aduan direkodkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri Kelantan dalam tempoh lebih dua bulan bermula 1 Januari tahun ini ketika negara berdepan cuaca panas.

Pengarah JAS, Wan Aminordin Wan Kamaruddin berkata, daripada jumlah itu sebanyak 53 kes membabitkan pembakaran terbuka.

Menurut beliau, satu kes sudah dikenakan kompaun manakala tiga kes lagi dalam proses penyediaan kertas siasatan untuk mendapatkan keizinan kompaun.

"Kita juga sedang dalam siasatan membabitkan tiga lagi kes," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Wan Aminordin memberitahu, pelaku pembakaran terbuka boleh dikenakan kompaun sehingga RM2,000 bagi setiap longgokan di bawah Seksyen 29 (A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Pegawai JAS memeriksa kawasan yang didapati ada pembakaran terbuka. Foto JAS
Pegawai JAS memeriksa kawasan yang didapati ada pembakaran terbuka. Foto JAS

"Jika sabit kesalahan di mahkamah, pelaku juga boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-keduanya sekali di bawah akta yang sama," katanya.

Jelas beliau, dalam keadaan cuaca panas berpanjangan, JAS Kelantan telah menubuhkan pasukan rondaan yang menjalankan tugas setiap hari termasuk pada cuti hujung minggu dan cuti umum.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, pegawai JAS tidak berkompromi dengan aduan yang diterima dan penyiasatan dilakukan jika membabitkan pembakaran terbuka di tapak pembuangan sampah haram, kawasan perumahan atau kejiranan.

Setakat ini jelas beliau, aduan di kawasan kampung dan perumahan merekodkan jumlah paling banyak diterima.

Dalam pada itu Wan Aminordin memberitahu, pengesanan pembakaran terbuka juga dilakukan melalui penerbangan dron di kawasan tanah gambut dan pengesanan titik panas melalui satelit.

"Negeri Kelantan diramal menghadapi pengurangan taburan hujan sebanyak 20 peratus hingga 40 peratus daripada purata jumlah hujan jangka panjang pada Mac dan April tahun ini.

"Susulan cuaca panas dan kering juga, JAS telah mengaktifkan Pelan Tindakan Pencegahan Pembakaran Terbuka dan menggerakkan Pasukan Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT) dengan melakukan pemeriksaan harian di semua kawasan tanah gambut yang mudah terbakar," katanya.

Masyarakat diingatkan tidak melakukan pembakaran terbuka dan orang ramai boleh melaporkan sebarang kes pembakaran terbuka di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau melalui eAduan di laman sesawang https://eaduan.doe.gov.my.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28