Selangor mantapkan ekosistem TVET, tawar kerjaya bergaji tinggi - Amirudin

Amirudin menjawab pertanyaan media selepas merasmikan Ekspo Interaktif Pendidikan TVET dan Kerjaya Badan Beruniform di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, pada Sabtu. Foto Bernama
Amirudin menjawab pertanyaan media selepas merasmikan Ekspo Interaktif Pendidikan TVET dan Kerjaya Badan Beruniform di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - Kerajaan Selangor menyasarkan untuk memantapkan lagi ekosistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi memastikan lebih ramai pekerja berpeluang memperoleh latihan kemahiran dan ditawarkan pekerjaan bergaji tinggi.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, banyak sektor di Selangor memerlukan segera tenaga kerja berkemahiran tinggi antaranya industri elektrik dan elektronik (E&E), bioteknologi, aeroangkasa dan pembuatan rel.

"Atas sebab itu kita berusaha menambah baik ekosistem TVET untuk memastikan kita dapat menarik pelajar berpotensi serta melahirkan pekerja berkemahiran tinggi dan menawarkan pekerjaan bergaji tinggi kepada mereka.

"Kita akan bekerja keras dan memastikan institusi pendidikan itu setara dengan kehendak industri. Kita mahu apa dikehendaki industri dan apa ditawarkan industri setanding,” katanya.

Amirudin berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Ekspo Pendidikan TVET dan Kerjaya Badan Beruniform di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga mempunyai perancangan menaik taraf Universiti Selangor (UniSel) menjadi universiti teknikal dan vokasional serta membangunkan modul program yang ditawarkan oleh Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) untuk memenuhi permintaan industri.

"Selepas itu kita akan masuk ke sekolah menengah supaya kita dapat membentuk pelajar tingkatan tiga hingga lima. Ini sebahagian usaha untuk memperkasakan ekosistem teknikal dan vokasional yang dilaksanakan.

"...Ini antara perkara terkandung dalam Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad Untuk Lima Tahun Selangor yang saya bentangkan sebelum pilihan raya (tahun lepas) untuk menawarkan 100,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi,” kata beliau. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!