Cuaca panas: KKM nasihat aktiviti luar kelas ditangguh sementara

Murid sekolah antara golongan yang berisiko tinggi untuk mendapat kesan masalah kesihatan akibat pendedahan kepada cuaca panas. Foto hiasan
Murid sekolah antara golongan yang berisiko tinggi untuk mendapat kesan masalah kesihatan akibat pendedahan kepada cuaca panas. Foto hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini menyarankan supaya aktiviti luar bilik darjah ditangguhkan sementara waktu di lokasi yang berstatus cuaca panas tahap satu iaitu keadaan suhu maksimum harian melebihi 35 darjah Celcius hingga 37 darjah Celcius.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam kenyataan hari ini berkata, sekiranya status cuaca bertukar kepada status ‘gelombang haba’, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) boleh mengambil tindakan mengikut Pelan Tindakan Bagi Menangani Gelombang Haba 2016, Pelan Tindakan Pengurusan Risiko Kesihatan Akibat Gelombang Haba 2021 oleh KKM dan Garis Panduan Penutupan Institusi Pendidikan oleh KPM.

"Murid sekolah antara golongan yang berisiko tinggi untuk mendapat kesan masalah kesihatan akibat pendedahan kepada cuaca panas disebabkan faktor fisiologi dan kurang pengambilan air,” katanya dalam kenyataan di sini.

Status gelombang haba merujuk kepada iaitu suhu maksimum harian melebihi 37 darjah Celcius hingga 40 darjah Celcius.

Menurut Dr Muhammad Radzi, pendedahan kepada cuaca panas secara berpanjangan boleh memudaratkan kesihatan terutamanya kepada golongan yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas, dan mereka yang menghidap penyakit kronik.

Sehubungan itu, KKM menasihati ibu bapa agar memastikan anak-anak untuk mengambil air secukupnya dan bagi mereka yang berpuasa disaran meminum air yang mencukupi ketika sahur dan berbuka puasa.

Mengikut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) semalam, Perlis telah mengalami gelombang haba sejak 19 Mac, manakala sebahagian besar negeri Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Padang Terap, Pokok Sena, Kota Setar, Kuala Muda, Pendang, Sik, Baling) dan sebahagian negeri Perak (Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta) mengalami cuaca panas tahap satu.

MetMalaysia juga menjangkakan cuaca kering dan panas dengan suhu melebihi 35 darjah Celcius berlaku di kebanyakan tempat di Semenanjung dan Sabah sehingga April 2024. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

@sinarharianonline

Cuaca panas: KKM nasihat aktiviti luar kelas ditangguh sementara #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Semasa #Nasional #Kesihatan #KKM #KPM #Sekolah #Aktiviti #Cuaca

Nitizyou - Crayon Shin-chan - 96c