Kawasan hutan di Bintang Hijau terbakar

Kawasan hutan seluas empat hektar berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Bintang Hijau dekat Sungai Rui, Gerik terbakar akibat cuaca panas pada Jumaat. Foto JBPM Perak
Kawasan hutan seluas empat hektar berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Bintang Hijau dekat Sungai Rui, Gerik terbakar akibat cuaca panas pada Jumaat. Foto JBPM Perak
A
A
A

GERIK - Kawasan hutan seluas empat hektar berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Bintang Hijau dekat Sungai Rui di sini terbakar akibat cuaca panas pada Jumaat.

Panggilan kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat Gerik pada jam 12.27 tengah hari melibatkan lalang di tepi jalan, daun dan kayu kering hutan bukit setinggi 700 meter.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kebakaran dapat dikawal pada jam 1.16 petang dengan hanya sisa-sisa kecil api di atas bukit.

Menurutnya, operasi pemadaman dilakukan menggunakan pancutan air dari jentera tangki air bomba serta pam racun dan pemerap api.

"Cuaca panas dan kering serta keadaan berangin menyebabkan api marak dengan cepat menyebabkan kawasan terlibat agak besar.

"Bagaimanapun, kebakaran ini tidak melibatkan pokok-pokok besar kerana corak kebakaran hanya di permukaan hutan sahaja," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, operasi pemadaman telah ditangguhkan pada jam 7 malam tadi dan akan disambung esok.

Katanya, pemantauan berterusan masih dilakukan di kawasan sekitar secara berkala malam ini bagi memastikan sisa-sisa kebakaran dipadamkan sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

"Ini untuk memastikan tiada lagi sumber nyalaan yang boleh menyebabkan api merebak semula," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!