200 murid terima bantuan sekolah

No Image Caption
A
A
A

GEORGE TOWN - Seramai 200 orang murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Itam dan SK Sri Aman, di sini menerima bantuan set pakaian serta beg sekolah melalui ‘Program Titipan Kasih Back To School’ anjuran bersama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan Harian Metro.

Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu turut mendapat kerjasama daripada Kumpulan Media Prima Berhad yang turut memberikan sumbangan dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime yang berjumlah RM20,000.

Menurutnya, setiap pelajar akan menerima RM100 dan dikreditkan ke dalam akaun Simpan SSPN Prime masing-masing.

"Program ini diadakan oleh PTPTN untuk membantu meringankan beban ibu bapa dari keluarga kurang berkemampuan menyediakan persiapan persekolahan untuk anak-anak mereka.

“Malah, bantuan ini dapat memberikan senyuman serta semangat kepada murid-murid untuk memulakan sesi persekolahan yang baharu,” katanya selepas merasmikan ’Program Titipan Kasih Back To School’ di SK Ayer Hitam di sini.

No Image Caption

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid; Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Projek Titipan Kasih Harian Metro, Husain Jahit dan Ketua Penolong Pengarah, Unit Hal Ehwal Murid, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Fadzil Sadikin.

Tambah Norliza, selain berusaha membantu golongan yang memerlukan, PTPTN katanya sentiasa menggalakkan amalan tabungan di awal usia demi manfaat pendidikan dan masa depan anak-anak mereka.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Norliza memberitahu, bagi memastikan bantuan yang diberikan dinikmati oleh golongan sasar, program tersebut turut melibatkan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang terpilih di negeri ini.

Sementara itu, Guru Besar SK Ayer Itam, Rafi'ah Ismail menzahirkan rasa gembira di atas keprihatinan PTPTN menyalurkan bantuan berkenaan kepada murid-murid yang terlibat.

Malah, beliau berharap sumbangan tersebut dapat menyuntik semangat serta motivasi kepada mereka untuk belajar dengan lebih rajin.

Dalam perkembangan lain, Norliza memaklumkan sempena meraikan Ramadan, PTPTN turut berkongsi rezeki dengan mengagihkan 1,000 pek bubur lambuk kepada penduduk di sekitar Ayer Hitam.