'Azmin mahu jadi calon PRK Parlimen Tanjong Karang' - Zulkafperi

Zulkafperi (kiri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
Zulkafperi (kiri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
A
A
A

KUALA SELANGOR - Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanafi mendakwa Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali disebut-sebut sebagai calon kerusi Parlimen Tanjong Karang sekiranya berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK).

Zulkafperi berkata, beliau mendapat banyak maklumat daripada pelbagai pihak kemungkinan Mohamed Azmin yang juga bekas Ahli Parlimen Gombak bertanding di Parlimen berkenaan.

"Berita ini diperkuatkan lagi dengan kehadiran beliau (Mohamed Azmin) dalam Program Jelajah Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Parlimen Tanjong Karang," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di pejabatnya dekat sini pada Jumaat.

Menurut Zulkafperi, sokongannya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan menyebabkan berlakunya PRK.

“Insya-ALLAH perkara itu tidak akan berlaku walaupun beliau hadir di Tanjong Karang yang kononnya akan gantikan saya di Tanjung Karang sebenarnya tidak ada keperluan.

“Setakat ini, penduduk di sini juga sudah mula menerima dan ada mengatakan saya membuat keputusan yang baik untuk membela nasib rakyat," tambah beliau.

Dalam pada itu, Zulkafperi berkata, Bersatu Bahagian Tanjong Karang tidak terbubar dan beliau masih lagi kekal sebagai ketuanya sehingga surat rasmi pemecatannya diserahkan.

“Bersatu Bahagian Tanjong Karang sepanjang saya tahu masih wujud dan tidak dibubarkan, malah saya juga masih kekal sebagai ketua walaupun dimaklumkan jawatankuasa berubah dengan alasan saya tidak hadir,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, lima Ahli Parlimen Bersatu terlebih dahulu mengisytiharkan sokongan terhadap Anwar adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz; Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik; Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!