'Zulkafperi tiada hak namakan calon PRK Parlimen Tanjong Karang'

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanafi tidak mempunyai locus standi atau hak di sisi undang-undang untuk menamakan mana-mana calon Perikatan Nasional (PN) sekiranya berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen berkenaan.

Ketua Srikandi Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tanjong Karang, Nurul Syazwani Noh berkata, Zulkafperi seharusnya memberi tumpuan mengenai kedudukan beliau sebagai ahli Parlimen sekiranya berlaku PRK.

"Sepatutnya beliau (Zulkafperi) memikirkan seandainya terjadi PRK, beliau akan bertanding di bawah parti mana.

"Adakah PH (Pakatan Harapan) dan BN (Barisan Nasional) sanggup menggadai kerusi (Parlimen) Tanjong Karang untuk diberikan kepada Zulkafperi atau beliau yakin akan menang seandainya bertanding bebas," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Mengulas mengenai kenyataan Zulkafperi yang mendakwa, Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali disebut-sebut sebagai calon kerusi Parlimen Tanjong Karang sekiranya berlaku PRK, Nurul Syazwani memberitahu, kedatangan bekas Ahli Parlimen Gombak ke Parlimen itu tiada kaitan dengan kempen PRK.

Nurul Syazwani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang menjelaskan, kehadiran Mohamed Azmin itu bagi mengikuti siri Jelajah Program Badan Perhubungan Negeri Selangor (BPN) Bersatu Selangor ke seluruh negeri termasuk Bersatu Bahagian Tanjong Karang.

"Jelajah ini bukan diadakan untuk kempen PRK, sebaliknya merupakan siri jelajah Pengerusi Negeri Bersatu yang baru dilantik bersama semua kepimpinan BPN ke seluruh selangor yang dimulakan sebelumnya di Bersatu Bahagian Kota Raja yang kemudiannya di Tanjong Karang dan Kuala Selangor pada hari sama," tambah beliau.

Sehubungan itu, katanya, PN Tanjong Karang bersedia dengan apa kemungkinan termasuk PRK di Parlimen itu.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga menyifatkan tindakan Zulkafperi menukar sokongan beliau itu umpama pak kaduk, menang sorak kampung tergadai," ujar beliau.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, Zulkafperi Hanafi mendakwa Mohamed Azmin disebut-sebut sebagai calon kerusi Parlimen Tanjong Karang sekiranya berlaku PRK.

Zulkafperi berkata, beliau mendapat banyak maklumat daripada pelbagai pihak kemungkinan Mohamed Azmin yang juga bekas Ahli Parlimen Gombak bertanding di Parlimen berkenaan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28