Penarik kereta tempuh detik cemas diacu pistol

Tangkap layar video memaparkan seorang lelaki memegang senjata sambil mengarahkan sebuah kereta yang dinaiki dua individu segera pergi dari lokasi berkenaan kejadian, pada Selasa.
Tangkap layar video memaparkan seorang lelaki memegang senjata sambil mengarahkan sebuah kereta yang dinaiki dua individu segera pergi dari lokasi berkenaan kejadian, pada Selasa.
A
A
A

CHERAS - Seorang penarik kereta menempuh detik cemas apabila diacu pistol ketika dalam urusan menarik sebuah kenderaan di Bandar Tun Hussien Onn di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, laporan kejadian dibuat oleh mangsa berumur 34 tahun kira-kira jam 12.48 pada Khamis.

"Siasatan mendapati dalam kejadian pada Selasa sekitar jam 10.55 pagi itu, mangsa bersama rakan dalam tugas untuk menarik sebuah kenderaan disyaki terdapat tunggakan bank yang dinaiki seorang wanita.

"Ketika proses berkenaan, seorang lelaki kemudiannya datang dan menghalang mangsa dengan alasan mangsa tidak dapat menunjukkan surat bank dan laporan polis berkaitan tunggakan bayaran kenderaan berkenaan," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, suspek turut menafikan kereta yang dinaiki anak perempuannya itu mempunyai tunggakan bayaran.

"Siasatan mendapati berlaku perselisihan faham menyebabkan suspek mengeluarkan pistol dari belakang badannya dan memegang senjata berkenaan serta menghalau mangsa supaya beredar.

"Bimbang sesuatu buruk berlaku, mangsa beredar dari lokasi kejadian sambil merakam perbuatan suspek yang memegang senjata itu," katanya.

Menurutnya, mangsa dan suspek kemudiannya tampil membuat laporan berhubung kejadian di Balai Polis Kajang.

Artikel Berkaitan:

"Suspek yang merupakan lelaki tempatan berumur 60 tahun telah dirakam keterangan selain pistol yang digunakan ketika kejadian dirampas untuk siasatan lanjut.

"Semakan mendapati suspek mempunyai lesen senjata api yang sah dan mendakwa bertindak demikian disebabkan curiga dengan perbuatan mangsa yang disangka mempunyai niat jahat untuk menarik kereta tetapi gagal membuktikan melalui dokumen tarik kenderaan berkaitan," katanya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkait kejadian tersebut, diminta berhubung mana-mana balai berdekatan atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes iaitu Inspektor Muhammad Tasnim Mohamed Nor di talian 014-6209960," katanya.

Pada Jumaat, tular video memaparkan seorang lelaki memegang senjata sambil mengarahkan sebuah kereta yang dinaiki dua individu segera pergi dari lokasi berkenaan.