Dapur Infaq Ummah belanja RM9,000 sehari sedia makanan percuma

Asmadi (tengah) memberi bungkus makanan kepada wakil NGO sambil ditemani Badrul Jamili di Pusat Prihatin Pahang, Jalan Wong Ah Jang.
Asmadi (tengah) memberi bungkus makanan kepada wakil NGO sambil ditemani Badrul Jamili di Pusat Prihatin Pahang, Jalan Wong Ah Jang.
A
A
A

KUANTAN - Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Dapur Infaq Ummah membelanjakan hampir RM9,000 bagi menyediakan 1,500 bungkus makanan percuma setiap hari kepada golongan memerlukan di daerah ini.

Pengasas pertubuhan itu, Badrul Jamili Kamaruddin berkata, ia membabitkan peningkatan kos sebanyak 20 peratus berbanding Ramadan tahun lalu.

Menurutnya, walaupun terdapat peningkatan kos bahan mentah, namun usaha untuk menyediakan makanan secara percuma tetap dilaksanakan.

"Pemberian ini sudah enam tahun kita laksanakan dan ia sebenarnya memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat di sini.

"Kalau ikutkan bukan sahaja golongan asnaf sahaja yang boleh menikmati juadah percuma ini, tetapi komuniti rentan dan gelandangan juga tidak terkecuali," katanya pada Jumaat.

Beliau berkata, pihaknya menyediakan nasi dengan lauk berbeza setiap hari berserta minuman kepada penerima.

Jelasnya, sukarelawan Dapur Infaq Ummah menghantar makanan ke Pusat Prihatin Pahang dan agihan di kawasan lain dilakukan beberapa NGO yang berdaftar.

"Komuniti Jalan Wong Ah Jang dan Lorong Pasar Besar turut diagihkan juadah percuma setiap hari bermula jam 6 petang," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Badrul Jamili turut mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai, selain menerima dana daripada agensi kerajaan dan Kerajaan Pahang.

Katanya, sumbangan bukan sahaja berbentuk kewangan tetapi bahan mentah seperti beras, santan, minyak bawang dan lauk-pauk juga diterima.

"Apa sahaja bentuk sumbangan kita terima, ini kerana niat kita adalah untuk memberi juadah percuma kepada mereka yang memerlukan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, pihaknya menyumbang sebanyak RM80,000 kepada Dapur Infaq Ummah bagi tujuan berkenaan.

"Kita harap sumbangan ini dapat diuruskan sebaiknya oleh Dapur Infaq Ummah dan agihan makanan kepada golongan memerlukan dapat dilaksanakan," katanya.

Dalam pada itu, Asmadi berkata, sepanjang Ramadan MUIP memperuntukkan lebih RM20.2 juta sebagai bantuan kepada golongan memerlukan dan sumbangan Ihya Ramadan Masjid tahun ini.

Jelasnya, peruntukan sejumlah itu akan diagihkan kepada 38,965 penerima di seluruh negeri.

Asmadi menambah, sumbangan Ihya Ramadan kepada masjid dan surau kebenaran jumaat pula berjumlah RM4.2 juta membabitkan 686 masjid dan surau.

"Selain itu, 149 maahad tahfiz, madrasah dan pondok berdaftar juga menerima sumbangan berjumlah RM292,500," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28