Cadangan hapus tol sukar dilaksanakan - Ahmad

Pelaksanaan cadangan pemansuhan tol di negara ini akan menyebabkan kerajaan membayar pampasan melebihi RM450 bilion kepada syarikat konsesi tol. Gambar hiasan. Gambar kecil: Ahmad Maslan
Pelaksanaan cadangan pemansuhan tol di negara ini akan menyebabkan kerajaan membayar pampasan melebihi RM450 bilion kepada syarikat konsesi tol. Gambar hiasan. Gambar kecil: Ahmad Maslan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cadangan untuk menghapuskan tol dilihat sukar untuk dilaksanakan kerana ia akan memberi implikasi besar terhadap kedudukan kewangan negara, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata, pelaksanaan cadangan pemansuhan tol di negara ini akan menyebabkan kerajaan membayar pampasan melebihi RM450 bilion kepada syarikat konsesi tol.

"Anggaran (kos) pada 2019 untuk menghapuskan tol kita perlu membayar (pampasan) kepada konsesi lebuh raya lebih RM400 bilion. Sekarang sudah 2023 ... tentunya lebih lagi, saya anggarkan kira-kira RM450 bilion.

" ... kita tahu belanjawan negara sekitar RM388 bilion setahun, kalau nak hapuskan tol dengan nilai RM450 bilion pada tempoh setahun itu kita tiada gaji yang boleh diberikan atau untuk kegunaan lain ... saya tak nampak tol boleh dihapuskan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Lembaga Lebuh Raya Malaysia (Pemerbadanan) (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Pada masa sama, Ahmad mendedahkan kerajaan membelanjakan kos RM20 juta sehari untuk bayaran kepada konsesi lebuh raya susulan pemberian tol percuma semasa sambutan perayaan.

Beliau turut memberi bayangan kemungkinan terdapat pengumuman pemberian tol percuma bersempena dengan sambutan Aidilfitri nanti.

Sebelum itu, ketika membentangkan bacaan kali kedua RUU itu, Ahmad berkata, pindaan melibatkan 16 fasal dalam Akta Lembaga Lebuh Raya Malaysia (Pemerbadanan) 1980 itu bertujuan menambah baik fungsi dan bidang kuasa Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam akta tubuhnya, selain memperkukuh peranan lembaga itu sebagai badan pengawal selia yang mantap, cekap dan efisien selaras dengan hasrat kerajaan.

Beliau berkata, pindaan akta itu tidak akan memberi sebarang implikasi kewangan kepada kerajaan mahupun kenaikan kadar tol yang dipersetujui dalam perjanjian antara kerajaan dan syarikat konsesi.

Artikel Berkaitan:

RUU itu kemudiannya diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas 12 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian dalam sesi perbahasan.

Sementara itu, RUU Bantuan Bersama dalam Perkara Jenayah (Pindaan) 2023 yang dibentangkan untuk bacaan kali kedua oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran, turut diluluskan Dewan Rakyat hari ini.

Pindaan kepada Akta Bantuan Bersama dalam Perkara Jenayah 2002 (Akta 621) bertujuan menambah baik peruntukan dalam pemberian bantuan bersama dalam perkara jenayah antara Malaysia dengan negara lain.

Menurut RUU itu, Peguam Negara dalam hal keadaan tertentu boleh membuat suatu permintaan bagi bantuan dalam perkara jenayah secara terus kepada pihak berkuasa yang berkaitan, seperti yang ditentukan oleh negara asing berkenaan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!