Pura-pura beli barang sebelum larikan telefon bimbit pekerja kedai runcit

Tangkap layar video tular memaparkan seorang lelaki dikerumuni sekumpulan individu selepas didakwa mencuri telefon bimbit.
Tangkap layar video tular memaparkan seorang lelaki dikerumuni sekumpulan individu selepas didakwa mencuri telefon bimbit.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pura-pura mahu membeli barang menjadi taktik seorang lelaki sebelum melarikan telefon bimbit milik pekerja sebuah kedai runcit dekat Pekan Sungai Besi di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.45 malam ketika suspek datang ke kedai runcit berkenaan kononnya untuk membeli barang.

"Semasa pekerja kedai berkenaan mendapatkan barang yang diminta, suspek bertindak mengambil dan membawa lari telefon bimbit yang sedang dicaj di atas meja.

"Suspek bagaimanapun terjatuh ketika melarikan diri sebelum berjaya ditahan orang ramai yang berada di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau, suspek kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Suspek berumur 39 tahun itu direman tiga hari untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.

Pada Khamis, tular video memaparkan seorang lelaki dikerumuni sekumpulan individu selepas didakwa mencuri telefon bimbit dalam kejadian berhadapan sebuah kedai di sini.

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28